JS-SEZ berpotensi ubah Malaysia, Singapura jadi hab inovasi dan teknologi berbanding pusat pembuatan konvensional - CIMB Securities

LocalTechnology
30 Apr 2025 • 11:47 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

JS-SEZ berpotensi ubah Malaysia, Singapura jadi hab inovasi dan teknologi berbanding pusat pembuatan konvensional - CIMB Securities

image is not available

30/04/2025 - 11:47

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 April - Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berpotensi mengubah Malaysia dan Singapura menjadi hab inovasi dan teknologi berkembang maju berbanding pusat pembuatan konvensional, kata CIMB Securities.

Katanya, ia juga akan berperanan dalam meningkatkan kecekapan dan daya tahan rantaian bekalan ASEAN didorong kedudukannya yang strategik.

Firma penyelidikan itu berkata, 80% pelaburan yang diluluskan di Johor pada 2024 terletak dalam kawasan JS-SEZ, termasuk projek baharu bernilai RM23 bilion yang direkodkan pada April 2025, membina momentum daripada RM27.4 bilion pelaburan yang diperoleh pada suku pertama tahun ini.

“Kira-kira 560 skim pelaburan daripada lebih 700 projek yang diluluskan untuk Johor oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 2024 adalah dalam kawasan JS-SEZ.

“Daripada jumlah itu, lebih 50 projek melibatkan sektor bernilai tinggi dan berpotensi tinggi seperti industri perubatan dan semikonduktor,” katanya dalam satu nota kajian.

Bagi mempercepat pembangunan, CIMB Securities berkata, Malaysia telah menubuhkan Pusat Pemudahcara Pelaburan Malaysia-Johor (IMFC-J), yang berjaya memendekkan tempoh kelulusan pelaburan sehingga 10 bulan. Singapura pula telah membentuk agensi bersama bagi membantu syarikat berkembang ke zon tersebut.

Firma penyelidikan itu turut menekankan kepentingan mempercepat pembangunan infrastruktur di rantau ini, termasuk projek RTS Link Johor-Singapura yang dijangka mula beroperasi pada akhir 2026, serta sistem transit e-ART Johor yang menarik minat pelabur secara meluas.

CIMB Securities berkata, syarikat hartanah dan pembinaan seperti Sunway Berhad, IJM Corp Berhad, UEM Sunrise Berhad dan Mah Sing Group Berhad dijangka meraih manfaat.

Sebagai contoh, Sunway sedang membangunkan projek pembangunan berorientasikan transit bernilai RM2.6 bilion berhampiran stesen RTS Bukit Chagar.

Sementara itu, memorandum persefahaman antara UEM Sunrise dan GuocoLand dijangka membuka potensi jangka panjang terhadap bank tanah industri milik UEM Sunrise, khususnya di Johor.

Menurut firma penyelidikan itu, UEM Sunrise sedang membina taman tenaga boleh diperbaharui (RE) seluas 16 hektar di taman industri yang dicadangkan di Presint 2, Gerbang Nusajaya.

Di Sunway City Iskandar Puteri, pembinaan gudang pertama di zon komersial karbon-neutral Equalbase Sunway 103, yang mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM8 bilion, telah pun dimulakan.

“Pada pandangan kami, inisiatif mesra alam ini selari dengan aspirasi Malaysia untuk mempromosikan taman industri hijau yang membekalkan tenaga boleh diperbaharui, dan setakat ini kira-kira 100 syarikat berminat untuk menyumbang kepakaran mereka,” tambah CIMB Securities.

Bagi menarik dan mengekalkan bakat, firma penyelidikan itu berkata, kadar cukai pendapatan istimewa sebanyak 15% selama 10 tahun ditawarkan kepada pekerja berpengetahuan yang bekerja dalam JS-SEZ.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri Johor untuk mengisi 100,000 peluang pekerjaan berkualiti yang dijangka diwujudkan menerusi JS-SEZ, selain menawarkan gaji permulaan yang menarik antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan. - DagangNews.com

standard