Kerajaan Persekutuan peruntuk RM300 juta tambah baik infrastruktur digital Johor, liputan 5G berhampiran JS-SEZ

21/04/2025 - 17:54
Gambar: Facebook HRH Crown Prince of Johor
KUALA LUMPUR 21 April - Kerajaan Persekutuan akan memperuntukkan RM300 juta dalam tempoh dua tahun bagi menambah baik infrastruktur digital, memperluas liputan 5G dan memperkukuh kesedaran keselamatan siber di Johor, khususnya di kawasan berkaitan dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta kerajaan negeri Johor, bertujuan menyokong transformasi digital dan pertumbuhan ekonomi negeri berkenaan.
“Inisiatif ini selaras dengan hasrat kerajaan Persekutuan untuk membantu negeri-negeri seperti Johor dalam meningkatkan akses Internet, mempercepatkan usaha pendigitalan, dan meningkatkan kesedaran awam mengenai keselamatan dalam talian dan keselamatan siber,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan itu akan memberi keutamaan kepada kawasan berimpak tinggi seperti hab pengangkutan awam, zon perindustrian, projek pusat data, kawasan tumpuan pelancong, dan stadium – khususnya di sekitar JS-SEZ.
Kerjasama strategik itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara MCMC dan kerajaan negeri yang berlangsung di Menara MBJB, hari ini.
Majlis pertukaran MoU itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani dan Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Fahmi.
Fahmi berkata, fasa pertama program itu akan memberi fokus kepada penambahbaikan liputan rangkaian mudah alih dan peluasan infrastruktur 5G di kawasan utama JS-SEZ.
“Ini akan menjadi salah satu keutamaan utama MCMC. Kerajaan negeri akan membantu dalam urusan tanah, dan kami juga akan menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan melalui Pusat Setempat (OSC) bagi mempercepatkan pelaksanaan,” katanya.
MCMC juga akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memasang akses WiFi awam di bawah inisiatif Bandar Selamat Johor, yang bertujuan menyediakan akses Internet yang selamat untuk penduduk tempatan dan pelancong.
Inisiatif ini turut menyokong usaha pendigitalan perkhidmatan awam dan swasta melalui penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi teknologi pintar. - DagangNews.com
standard



