Jual Kanta Lekap Tidak Berdaftar, KKM Keluar 12 Notis Amaran

LocalHealth & Fitness
3 Apr 2026 • 8:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR – Dua belas notis amaran telah dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi operasi membanteras penjualan kanta lekap tidak berdaftar. 

Ia susulan lambakan produk seumpama itu di pasaran tempatan, yang berisiko tinggi mendatangkan mudarat kepada pengguna.

Jurucakap KKM berkata, operasi pada 16 Mac lalu itu melibatkan pemeriksaan ke atas 19 premis menjual kanta lekap di Bazaria Wangsa Maju, di sini.

Menurut beliau, pasukan penguat kuasa KKM semasa operasi berkenaan mengenal pasti pelbagai pelanggaran di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 dan peraturan berkaitan, termasuk penjualan produk tidak berdaftar serta kegagalan mematuhi keperluan pelabelan wajib.

“Kanta lekap dan peranti optik adalah peranti perubatan yang dikawal selia dan diklasifikasikan sebagai peranti perubatan ditetapkan. 

“Justeru, penggunaannya memerlukan preskripsi sah serta perkhidmatan profesional daripada jurupandu optik atau optometris berdaftar, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Optikal 1991,” katanya.

Jelas jurucakap itu, penjualan kanta lekap dan peranti optik secara dalam talian di mana-mana platform e-dagang adalah dilarang sama sekali. 

“Kementerian mengambil serius isu ini kerana pembelian tanpa pemeriksaan dan nasihat profesional boleh mendedahkan pengguna kepada risiko kesihatan mata, termasuk jangkitan, kerosakan kornea, dan komplikasi penglihatan yang serius,” katanya. 

Tegasnya, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) sedari awal telah memberi amaran, tiada kelulusan diberikan untuk pengiklanan atau penjualan kanta lekap dan peranti optik secara dalam talian. 

“Pelanggaran boleh mengakibatkan tindakan di bawah Peraturan Peranti Perubatan (Pengiklanan) 2019, termasuk denda sehingga RM200,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya jika disabit kesalahan,” katanya. - Getaran, 3 April 2026