35 daripada 99 projek Persekutuan di Sarawak bernilai RM12 bilion dalam pembinaan – Alexander Nanta

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 3:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

35 daripada 99 projek Persekutuan di Sarawak bernilai RM12 bilion dalam pembinaan – Alexander Nanta Image from: 35 daripada 99 projek Persekutuan di Sarawak bernilai RM12 bilion dalam pembinaan – Alexander Nanta amree16/11/2026 - 15:50 ALEXANDER NANTA Linggi (enam dari kiri) menunjukkan tanda bagus ketika majlis penyerahan projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang siap di Kem Muara Tuang, di Kota Samarahan, Sarawak. - Gambar kredit Kementerian Kerja Raya Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Nov — Sebanyak 35 daripada 99 projek pembangunan Persekutuan di Sarawak bernilai keseluruhan RM12 bilion kini dalam pembinaan, dengan nilai pelaksanaan mencecah RM5 bilion, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

 

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak turut diberi tanggungjawab untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan dengan nilai berjumlah RM50 juta dan ke bawah bagi memastikan usaha pelaksanaannya itu dapat dipantau secara lebih berkesan.

 

Menurutnya, kementerian berkenaan mempunyai pangkalan data secara menyeluruh serta rekod dalaman mengenai tahap keupayaan setiap kontraktor yang dilantik, termasuk prestasi dan kebolehan mereka bagi menyiapkan sesuatu projek dilaksanakan.

 

"Bagaimanapun, rekod berkenaan tidak didedahkan kepada umum bagi mengelakkan penyalahgunaan maklumat, kata Nanta selepas menyaksikan majlis penyerahan projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang siap di Kem Muara Tuang, di Kota Samarahan pada Isnin.

 

Mengulas mengenai prestasi kontraktor, beliau berkata, kontraktor yang didapati berjaya menyiapkan projek lebih awal daripada jadual tidak secara automatik akan menerima bonus atau diberikan lebih banyak projek selepas itu.

 

Sebaliknya tambah beliau, Kementerian Kerja Raya (KKR) mengetahui mana-mana kontraktor yang memiliki rekod prestasi baik dan boleh dipercayai, selain mengenal pasti pihak yang kurang memuaskan dalam pelaksanaan kerja.

 

KKR_DagangNews2026
Gambar kredit Kementerian Kerja Raya

 

Bagaimanapun ujar Nanta, kelewatan projek tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada kontraktor kerana terdapat faktor luaran yang boleh mempengaruhi kemajuan kerja, termasuk pengambilan tanah, kajian terperinci, pemindahan utiliti dan perubahan skop projek.

 

"Kontraktor namun tetap perlu bertanggungjawab sekiranya kelewatan berpunca daripada kecuaian sendiri, khususnya kelemahan pengurusan, kekangan kewangan atau kegagalan menyediakan tenaga kerja mencukupi di tapak pembinaan," kata beliau.

 

Jelasnya lagi, pihak KKR tidak mahu sebarang projek kerajaan berdepan dengan isu kelewatan atau masalah pelaksanaan akibat kontraktor terbabit mengambil projek berskala besar tanpa mempunyai kapasiti tenaga kerja yang mencukupi.

 

Terdahulu, beliau menyaksikan penyerahan projek RKAT Kem Muara Tuang bernilai RM119.1 juta yang dibangunkan di kawasan seluas 11.45 hektar dan merangkumi sejumlah 190 unit kediaman pelbagai kategori.

 

Projek yang dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas 2 JKR itu turut dilengkapi kemudahan asas seperti surau, tadika dan pusat asuhan kanak-kanak serta disiapkan dalam tempoh tiga tahun seperti dijadualkan, dengan sedikit lanjutan masa diberikan bagi menampung kerja tambahan.  - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved