Jualan baharu IOI Properties dijangka kekal dalam lingkungan RM2 bilion pada FY26 - penganalisis

LocalBusiness & Finance
27 Aug 2025 • 10:14 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jualan baharu IOI Properties dijangka kekal dalam lingkungan RM2 bilion pada FY26 - penganalisis

image is not available

27/08/2025 - 10:14

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Jualan baharu IOI Properties Group Berhad (IOIPG) dijangka kekal dalam lingkungan RM2 bilion bagi tahun kewangan 2026 (FY26) dipacu projek-projek hartanah baharu di Malaysia, kata penganalisis.

MBSB Research berkata, bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25), kumpulan itu mencatatkan jualan baharu berjumlah RM1.81 bilion, sedikit merosot berbanding RM2.1 bilion yang dicapai pada FY24.

Katanya, sebahagian besar penurunan tersebut berpunca daripada ketiadaan hasil jualan tanah pada FY25, yang sebelum ini menyumbang RM365 juta dalam jualan pada FY24.

"Projek di Malaysia kekal sebagai penyumbang utama, merangkumi kira-kira 90% daripada keseluruhan jualan baharu FY25.

"Pada suku keempat FY25 sahaja, jualan baharu meningkat kepada RM670 juta berbanding RM447 juta pada suku sebelumnya, mencerminkan pemulihan momentum jualan menjelang penghujung tahun kewangan," katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, pelancaran rasmi W Residences di Marina View, Singapura berpotensi menjadi pemangkin tambahan kepada prestasi jualan pada masa hadapan, namun sumbangan sebenar daripada projek itu hanya akan terhasil selepas pelancaran rasmi yang dijadualkan pada Oktober 2025.

Unjuran jualan yang stabil dalam lingkungan RM2 bilion ini dijangka memberikan asas yang mampan kepada prestasi IOIPG, walaupun kumpulan masih berdepan cabaran daripada kos kewangan dan cukai yang tinggi.

"Kami mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran (TP) RM2.09 sesaham," katanya.

Sementara itu, CGS International optimis terhadap prospek IOIPG pada FY26 disokong kemajuan pelan penyenaraian REIT dan peningkatan jualan hartanah.

Bagaimanapun, pengurusan kos kewangan serta pengoptimuman pulangan daripada aset premium seperti IOI Central Boulevard Towers (ICBT) di Singapura akan terus menjadi faktor utama dalam memastikan pertumbuhan keuntungan yang mampan.

Katanya, projek ICBT kini menunjukkan tanda-tanda pemulihan dengan kadar penghunian komited meningkat kepada 88% pada akhir suku keempat FY25, berbanding 80% pada suku sebelumnya.

Dengan peningkatan penghunian fizikal yang berterusan, projek ini dijangka menyumbang lebih kukuh kepada pendapatan kumpulan dalam FY26 dan seterusnya.

"Kami mengekalkan saranan "tambah" dengan TP RM3.25 sesaham," katanya. - DagangNews.com

standard