Kadar sewaan kapal pengangkut LNG MISC dijangka kekal lemah, kata penganalisis

26/08/2025 - 10:45
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 26 Ogos - Kadar sewaan kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) MISC Berhad dijangka kekal lemah berikutan penghantaran kapal baharu yang terus mengatasi pertumbuhan dagangan LNG, menurut penganalisis.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, tekanan tambahan turut datang daripada kelewatan projek LNG berskala besar, yang seterusnya mengekang kadar penggunaan kapal menjelang separuh kedua tahun 2025 (2H25).
“Namun begitu, kami percaya kelemahan ini hanya bersifat sementara, dengan pemulihan yang lebih kukuh dijangka bermula tahun kewangan 2026 (FY26).
“Ini seiring dengan perkembangan bekalan LNG dari Qatar, Amerika Syarikat (AS) dan benua Afrika yang dijangka mula beroperasi, sekali gus membantu mengimbangi semula dinamik penawaran dan permintaan kapal, serta menyokong kadar sewaan yang lebih kukuh," katanya dalam satu nota kajian.
HLIB berkata, pada 2QFY25, MISC telah menyerahkan sebuah kapal LNG, Al Tuwar, kepada QatarEnergy. Enam lagi kapal dijadualkan untuk dihantar tahun ini, lapan pada FY26 dan empat pada FY27.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan pendapatan MISC pada FY25 akan dipacu oleh bahagian perniagaan petroleum, yang disokong oleh pasaran kapal tangki yang menggalakkan, berikutan peningkatan bekalan minyak oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang menaikkan permintaan tan-mil di tengah-tengah pertambahan armada yang minimum.
HLIB mengekalkan saranan “beli” ke atas saham MISC tetapi mengurangkan harga sasaran (TP) kepada RM8.11 daripada RM8.14.
Sementara itu, MBSB Research menjangkakan tekanan jangka pendek dalam segmen gas, di mana perluasan armada dan permintaan yang masih lemah dijangka menyebabkan kadar sewaan kapal LNG kekal lemah menjelang separuh kedua tahun 2025.
Namun begitu, firma penyelidikan itu menjangkakan pemulihan mula berlaku seawal suku pertama tahun 2026, seiring dengan beberapa projek pencairan LNG baharu yang dijangka mula beroperasi.
Dalam masa yang sama, anak syarikat MISC, Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad sedang giat mengembangkan kehadirannya dalam sektor tenaga baharu, sambil terus mengukuhkan perniagaan konvensional bagi memastikan daya saing jangka panjang.
Katanya, langkah ini dilihat penting di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global yang boleh mengganggu rantaian bekalan.
"Kami yakin terhadap hala tuju strategik MISC, yang memberi tumpuan kepada pengurusan kos, pemodenan armada, serta kepelbagaian dalam usaha tenaga baharu, yang dijangka menyediakan asas kukuh untuk menghadapi cabaran pasaran semasa," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan TP RM8.13 sesaham.- DagangNews.com
standard


