
Jualan BEV Meningkat, BYD Cipta Sejarah Atasi Tesla Di Eropah
China – Syarikat automotif China, BYD mencatat sejarah apabila mengatasi Tesla dalam jualan kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) di Eropah buat kali pertama pada April lalu, lapor SCMP.
Menurut firma penyelidikan pasaran automotif global, Jato Dynamics, BYD menjual sebanyak 7,231 unit BEV, meningkat 169 peratus berbanding April tahun lalu. Data tersebut dikumpul daripada 28 buah negara di Eropah. Jualan Tesla jatuh 49 peratus kepada 7,165 unit sepanjang tempoh berkenaan.
Penganalisis global Jato Dynamics, Felipe Munoz berkata, meskipun angka menunjukkan perbezaan yang kecil, impak terhadap pasaran automotif di Eropah adalah besar.
“Tesla telah menerajui pasaran BEV Eropah selama bertahun, sedangkan BYD hanya mula beroperasi luar Norway dan Belanda pada akhir 2022,” ujarnya.
Secara keseluruhan, BEV menyumbang 17 peratus daripada 1.1 juta pendaftaran kenderaan baharu di Eropah pada April. Jumlah ini meningkat daripada 13.4 peratus pada April tahun lalu.
Dalam kategori EV hibrid plug-in (PHEV), BYD turut mencatat pertumbuhan pantas. Firma penyelidikan Rho Motion melaporkan BYD menjual 3,269 unit PHEV pada bulan Mac di negara-negara Kesatuan Eropah (EU), iaitu meningkat daripada hampir sifar jualan dalam Julai 2024. Ketika itu, tarif sementara mula diperkenalkan.
Syarikat automotif China yang lain, Chery turut mencatat peningkatan dengan jualan sebanyak 757 unit PHEV di EU pada bulan yang sama.
“Bagi mendapatkan daya tarikan di Eropah, pengeluar kereta (China) telah bertindak balas terhadap ancaman tarif dengan memberi tumpuan kepada jenis kuasa lain seperti hibrid plug-in, bagi mengekalkan momentum di sebalik rancangan pengembangan global mereka,” maklum Rho Motion.
Walaupun berdepan tarif EU sehingga 45.3 peratus terhadap BEV buatan China sejak November, jualan BEV dari China melonjak 59 peratus kepada hampir 15,300 unit dalam tempoh setahun.
PHEV dari China pula melonjak 546 peratus kepada 9,649 unit bersamaan hampir 10 peratus daripada jumlah PHEV yang didaftarkan di blok tersebut.
Berikutan itu, kebanyakan syarikat China kini menumpukan kepada penjualan PHEV yang tidak dikenakan tarif. EU dan China sedang berunding bagi menetapkan tarif baharu dan harga lantai EV.
BYD juga giat mempercepat pembinaan kilang pertama di benua tersebut di Hungary yang dijangka beroperasi separuh kedua tahun ini. BYD turut merancang membina ibu pejabat dan pusat penyelidikan di negara berkenaan.
Sumber: SCMP
The post Jualan BEV Meningkat, BYD Cipta Sejarah Atasi Tesla Di Eropah appeared first on Siakap Keli.


