Konsol permainan terbaru Nintendo, iaitu Nintendo Switch 2 akan dilancarkan tidak lama lagi, dan salah satu keperluan yang diperlihatkan untuk konsol ini ialah penggunaan storan kad MicroSD Express yang hadir dengan saiz storan dan juga kelajuan pembacaan dan penulisan data yang cukup pantas.
Di Jepun, jualan kad MicroSD Express ini dilihat telah meningkat dengan mendadak, dimana ramai peminat-peminat Nintendo nampaknya sedang bersiap-sedia untuk pelancaran konsol tersebut dengan membeli storan ini.

Hermitage Akihabara, sebuah rantaian kedai komputer popular di Jepun baru-baru ini telah menjejak jualan kad MicroSD Express ini, dan mengatakan bahawa sekitar 338 kad storan ini dijual setiap jam secara purata selepas Nintendo membuat pengumuman berkenaan konsol tersebut.
Menariknya, sebelum ini jualan kad MicroSD Express dilihat sangat rendah sekali kerana walaupun ia tampil dengan penawaran storan besar dan kelajuan pembacaan data setinggi 900MB/s, tiada sebab untuk orang ramai membeli storan ini khususnya dengan tanda harga yang mahal.

Tetapi kini dengan pengesahan bahawa Nintendo Switch 2 akan menggunakan storan ini, nampaknya orang ramai khususnya di Jepun telah mula membelinya terlebih dahulu, dan terdapat ramai daripada mereka yang membeli lebih dari satu storan ini.
Sebagai contoh, satu storan MicroSD Express dengan storan 1TB hadir dengan tanda harga kira-kira $199.99 (~RM880), jadi anda akan faham mengapa kad storan ini tidak begitu popular di kalangan pengguna biasa.
Nintendo Switch diijangka akan dilancarkan pada 5 Jun 2025, manakala untuk pasaran Malaysia pula, ia dianggarkan akan tiba sekitar bulan Julai ke September 2025.

