hamden18/09/2026 - 11:45 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Sept - Jualan kenderaan baharu Malaysia susut 2% tahun ke tahun kepada 71,428 unit pada Ogos 2026, namun segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) terus mencuri tumpuan apabila mencatatkan jualan bulanan tertinggi setakat tahun ini.
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jumlah keseluruhan volum industri (TIV) pada Ogos turut turun 3% berbanding Julai, meskipun permintaan SUV melonjak kepada hampir 24,000 unit susulan pelancaran beberapa model baharu.
Momentum turut disokong oleh permintaan trak pikap yang semakin pulih, dengan jualan hampir 3,000 unit pada Ogos, sekali gus menjadi jumlah bulanan kedua tertinggi bagi segmen berkenaan tahun ini.
MAA berkata kempen promosi agresif oleh anggotanya turut membantu menyokong prestasi jualan pada bulan berkenaan.
"Jualan dijangka mengekalkan momentum semasa pada September," katanya dalam satu kenyataan.
MAA mewakili lebih 12 jenama, pemasang, pengedar dan peruncit kenderaan domestik serta asing.
Jualan kenderaan penumpang susut 0.4% tahun ke tahun kepada 67,058 unit, manakala jualan kenderaan komersial merosot 24% kepada 4,370 unit.
Bagi tempoh lapan bulan pertama 2026, jumlah TIV meningkat 3% kepada 530,478 unit berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, pengeluaran kenderaan merosot 7% tahun ke tahun kepada 64,549 unit pada Ogos, susulan penurunan pengeluaran bagi kenderaan penumpang dan komersial.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos, pengeluaran meningkat sedikit sebanyak 1% kepada 496,985 unit. - DagangNews.com






