Jualan kenderaan susut 4% kepada 62,833 unit pada Februari 2024 - MAA
zulfadli
18/03/2024 - 16:06
KUALA LUMPUR 18 Mac - Jualan kenderaan baharu Malaysia menyusut 4% kepada 62,833 unit pada Februari 2024 berbanding 65,499 unit pada bulan sebelumnya untuk tempoh bulan bekerja yang lebih singkat berikutan cuti perayaan Tahun Baharu Cina, menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
MAA berkata, pada Februari, sebanyak 57,979 unit kenderaan penumpang telah dijual, menokok 3% daripada 56,433 unit yang dijual pada Februari 2023 manakala jualan kenderaan komersial merosot 32% kepada 4,854 unit daripada 7,128 unit.
Pada asas tahunan, jualan Februari susut 1% kepada 62,833 unit berbanding 63,561 unit pada bulan yang sama tahun lepas.
"Jumlah jualan setakat ini bagi Februari 2024 adalah 13% lebih tinggi (kepada 128,332 unit) daripada (113,729 unit) tempoh yang sama pada 2023," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Dari segi pengeluaran, MAA berkata 65,611 unit kenderaan dikeluarkan pada Februari 2024, kenaikan 3% daripada 63,798 unit pada Februari 2023.
Daripada jumlah itu, sebanyak 61,935 unit adalah kenderaan penumpang (meningkat 3% daripada 59,843 unit pada bulan yang sama tahun lepas), manakala baki 3,676 unit adalah kenderaan komersial (turun 7% daripada 3,955 unit sebelumnya).
Mengenai prospek untuk Mac 2024, MAA menjangkakan jualan yang lebih tinggi berbanding Februari 2024, berikutan penghantaran yang cepat oleh syarikat dengan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 dan kempen promosi Hari Raya. - DagangNews.com



