Jualan makanan, minuman sepanjang Ramadan bermula jam 3 petang

LocalFood
26 Feb 2025 • 2:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Semua aktiviti perniagaan melibatkan pengusaha serta pemilik perniagaan makanan serta minuman beragama Islam dibenarkan memulakan perniagaan jam 3 petang. - Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU - Semua aktiviti perniagaan makanan dan minuman melibatkan pengusaha, pemilik, serta pelanggan beragama Islam hanya dibenarkan bermula jam 3 petang sepanjang Ramadan.

Menurut kenyataan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), pengusaha dan pemilik perniagaan makanan dan minuman bukan Islam juga dilarang membenarkan pelanggan beragama Islam makan serta minum di premis milik mereka pada waktu siang sepanjang Ramadan.

"Sepanjang Ramadan, semua aktiviti perniagaan melibatkan pengusaha serta pemilik perniagaan makanan serta minuman yang beragama Islam tidak dibenarkan memulakan perniagaan sebelum jam 3 petang.

"Mana-mana pengusaha dan pemilik perniagaan makanan dan minuman yang gagal mematuhi peraturan ini menjadi satu kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (Penubuhan Makanan) MBKT 1991.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun, atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi MBKT di sini.

Menurut kenyataan itu, kedai makan dan restoran bukan Islam dibenarkan beroperasi mengikut waktu operasi biasa dan aktiviti jualan hanya kepada pelanggan bukan Islam.

"Kedai kek, bakeri, dan kedai keropok dan restoran milik peniaga Islam dibenarkan beroperasi bermula jam 3 petang untuk aktiviti jualan secara bungkus sahaja manakala penggunaan ruang makan serta aktiviti penyediaan makanan bermula jam 7 petang.

"Kedai serbaneka beroperasi mengikut waktu operasi biasa dan dihadkan kepada aktiviti peruncitan sahaja manakala bazar Ramadan serta kedai jualan kuih muih untuk aktiviti jualan secara bungkus sahaja juga bermula jam 3 petang," katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, kedai makanan segera pula dibenarkan beroperasi bermula jam 12 tengah hari melibatkan aktiviti jualan secara bungkus sahaja.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved