johardy10/11/2026 - 14:50 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov - Jualan minyak sawit mentah dan isirung sawit Jaya Tiasa Holdings Berhad kepada pihak berkaitannya, Borneo Edible Oils Sdn Bhd mencecah RM799.85 juta, melebihi anggaran sebanyak 23% susulan penyatuan urusan pembelian di bawah syarikat berkenaan.
Nilai urus niaga bagi tempoh 28 November 2025 hingga 9 November 2026 itu mengatasi anggaran RM650 juta sebanyak RM149.85 juta, menurut makluman Jaya Tiasa kepada Bursa Malaysia hari ini.
Jaya Tiasa menjelaskan perbezaan tersebut berpunca daripada perubahan aturan pembelian selepas PGEO Group Sdn Bhd mengambil alih kepentingan ekuiti 51% dalam Borneo Edible Oils.
Susulan pengambilalihan itu, pembelian minyak sawit mentah dan isirung sawit yang sebelum ini dilaksanakan secara berasingan oleh Borneo Edible Oils dan PGEO disatukan di bawah Borneo Edible Oils.
Anggaran RM650 juta tersebut dinyatakan dalam pekeliling kepada pemegang saham bertarikh 30 Oktober 2025. Pemegang saham meluluskan mandat sedia ada bagi urus niaga berulang pihak berkaitan itu pada 28 November 2025.
Pengumuman hari ini dibuat berikutan nilai sebenar urus niaga berkenaan melebihi anggaran yang dinyatakan dalam pekeliling tersebut sebanyak lebih 10%.
Setakat pukul 2.32 petang, 10 November 2026, saham Jaya Tiasa berada pada 84 sen, menyamai paras terendahnya dalam tempoh 52 minggu.
Saham itu dibuka pada 88 sen dan bergerak antara 84 sen hingga 88 sen, manakala permodalan pasarannya berjumlah RM818.12 juta. — DagangNews.com






