johardy04/11/2026 - 09:43 Pekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Sabah - Gambar oleh Ka Han Lee Oleh Mohamad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Nov - Cukai Jualan Negeri (SST) sebanyak 7.5% yang dikenakan kerajaan Sabah terhadap minyak sawit mentah (MSM) serta kos pengangkutan yang lebih tinggi menjadi punca utama harga buah tandan segar (BTS) sawit di negeri itu lebih rendah berbanding Semenanjung Malaysia.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, kedua-dua faktor itu menyumbang kepada perbezaan harga berkenaan walaupun Sabah mencatatkan kadar perahan minyak (OER) yang agak tinggi.
Beliau berkata, cukai jualan dan kos logistik merupakan faktor yang berada di luar kawalan langsung mekanisme penetapan harga pasaran.
Penjelasan itu diberikan menerusi jawapan bertulis di Parlimen kepada Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang mempersoalkan mengapa pekebun kecil di Sabah terus menerima harga BTS lebih rendah walaupun negeri itu mencatatkan OER antara 22% hingga 25%.
Andi turut meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan bagi memastikan pekebun kecil menerima harga lebih adil serta meningkatkan ketelusan dalam urus niaga BTS.
Huang berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kekal komited menangani perbezaan harga itu melalui pemantauan, penguatkuasaan dan peningkatan ketelusan dalam rantaian bekalan industri sawit.
MPOB perketat pemantauan harga BTS
Antara langkah dilaksanakan ialah penggunaan Formula Harga Rujukan BTS MPOB yang menyediakan penanda aras harga harian berdasarkan formula rasmi bagi setiap 1% kadar perahan minyak di pintu kilang.
Harga rujukan itu diterbitkan melalui portal rasmi dan aplikasi mudah alih MPOB bagi membolehkan pekebun kecil serta penggiat industri membandingkan harga belian dengan penanda aras yang ditetapkan berdasarkan kualiti sebenar buah dan kadar perahan minyak.
Selain itu, MPOB mewajibkan peniaga buah sawit dan pengusaha kilang mempamerkan harga belian BTS harian berdasarkan kadar perahan minyak 1% secara jelas di premis masing-masing.
Huang berkata, keperluan itu dikuatkuasakan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005 bagi meningkatkan ketelusan harga dan mengelakkan manipulasi yang boleh menjejaskan pekebun kecil.
Kerajaan turut memperkukuh pemantauan sistem timbangan menerusi kerjasama antara MPOB dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Kerjasama itu bertujuan memastikan semua peralatan timbangan di kilang sawit dan pusat pembelian buah diperiksa serta disahkan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.
Huang berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan bagi memastikan pekebun kecil sawit di Sabah menerima harga yang lebih adil dan telus bagi hasil tanaman mereka. - DagangNews.com






