Jualan murah negeri bantu jimat belanja keluarga, harap program diteruskan

8 Mar 2023 • 5:21 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

Oleh Shamz Johan

SELAYANG, 6 MAC: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) anjuran Kerajaan Negeri yang dianjurkan sejak tahun lepas membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga.

Muhammad Zulfadli Zulhelme, 19, dari Kampung Bendahara, Batu Caves berkata keluarganya turut terkesan dengan kenaikan harga barang dan terpaksa mengawal perbelanjaan.

image is not available
Muhammad Zulfadli Zulhelme. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Memang terkesan, ayah bekerja seorang menyara kami lapan beranak. Jadi, bila ada JER yang menjual barangan seperti ayam, ikan, beras dapatlah ringan beban kami.

“Sekarang saya tumpu cari pekerjaan, kadang-kadang dapat kerja sementara seperti mengawal keselamatan dan menjaga parkir di program atau acara, saya nak bantu keluarga,” katanya yang akan berkunjung ke program JER setiap kali diadakan di kawasannya.

Bagi Teo Siew, 50, memberitahu dia sekeluarga turut mengawal perbelanjaan dapur akibat peningkatan kos barangan dan kuasa beli yang rendah

image is not available
Teo Siew. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Saya sebagai isteri perlu berbelanja dengan berhati-hati. Suami saya berusia 70 tahun dan masih bekerja di bengkel. Program jualan murah ini sangat membantu golongan B40, saya harap ia diteruskan” katanya.

Terdahulu, lebih 600 pengunjung hadir program jualan murah peringkat DUN Taman Templer di lot parkir Kampung Bendahara, Batu Caves, hari ini.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.

image is not available
Petugas menyediakan barangan untuk dijual pada Jelajah Ehsan Rakyat (JER) DUN Taman Templer di Kampung Bendahara, Batu Caves pada 8 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI