Jualan murah sempena Aidiladha di enam lokasi sehingga esok

15 Jun 2024 • 12:15 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available
1

SHAH ALAM, 15 JUN: Jualan Ehsan Rahmah (JER) mega sempena Aidiladha diadakan di enam lokasi bermula hari ini bagi memudahkan orang ramai membuat persiapan, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim menjelaskan program selama dua hari melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Kuala Kubu Bharu dan Pelabuhan Klang antara 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Beliau menambah jualan kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu akan diteruskan esok meliputi DUN Pandan Indah, Tanjung Sepat dan Dusun Tua.

“Setiap kali menjelang perayaan, Kerajaan Negeri akan adakan jualan mega. Ini memudahkan penduduk mendapat keperluan pada harga lebih murah dari pasaran.

“Jualan ini berskala lebih besar. Kita tambah kuantiti produk, contohnya 1,000 ayam dijual setiap tempat,” katanya pada 9 Jun.

Sempena sambutan Aidilfitri April lalu, Kerajaan Negeri menganjur jualan mega di 18 lokasi bagi memudahkan golongan berpendapatan rendah berbelanja keperluan raya.

Lima barangan utama iaitu ayam, daging, telur, minyak masak dan beras dijual pada harga bersubsidi dengan peruntukan RM296,439.

Sepanjang tahun ini, JER diadakan di lebih 1,800 lokasi, tidak termasuk program jualan murah di beberapa cawangan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu.

Lokasi boleh disemak di Facebook PKPS, imbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS