
Jualan PMKS dan jenama tempatan di TikTok Shop terus menunjukkan perkembangan yang sangat positif apabila meningkat lebih 130% sepanjang Ramadan dan Raya. Perkembangan ini dikongsikan semasa majlis Raikan Raya TikTok Shop baru‑baru ini, yang turut dihadiri Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta timbalannya, Teo Nie Ching, bersama para usahawan dan rakan industri.

Menurut TikTok, peningkatan ini banyak disumbangkan oleh Pakej Rangsangan #JomLokal Booster bernilai RM20 juta yang dilihat membantu dan memberi impak besar kepada usahawan tempatan. Melalui pakej tersebut, lebih 5,000 PMKS menerima pengecualian yuran komisen manakala 14 bengkel latihan yang dianjurkan berjaya membantu lebih 1,000 penjual baharu meningkatkan kemahiran mereka. Sesi yang memperkenalkan penjual dengan pencipta kandungan turut membuka peluang kepada lebih 1,000 pencipta kandungan untuk bekerjasama mempromosikan produk #JomLokal.

Pada masa yang sama, TikTok Shop terus memperkukuh aspek keselamatan platform dengan melaburkan hampir USD1 bilion (~RM3.98 bilion) di peringkat global bagi membangunkan teknologi dan sistem perlindungan yang lebih kukuh.
Hasil daripada usaha ini, lebih 70 juta percubaan penyenaraian produk yang melanggar dasar berjaya disekat antara Januari hingga Jun 2025, dengan kadar penyingkiran proaktif melebihi 99.5%. Selain itu, sebanyak 1.4 juta permohonan akaun penjual turut ditolak kerana tidak memenuhi piawaian keselamatan. Pada April 2025, TikTok Shop turut melancarkan kempen #ShopSafe bagi membantu mendidik pengguna tentang amalan membeli-belah dalam talian yang lebih selamat.
Komitmen TikTok Shop terhadap PMKSjuga semakin ketara apabila mereka membantu usahawan menjadi lebih mudah ditemui oleh pengguna. Melalui inisiatif #JomLokal, TikTok Shop terus memperkasa penyertaan digital PMKS sambil menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih menyeluruh.



