KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi akan meminta TikTok Shop Malaysia menyediakan laporan berhubung kesan daripada isu krisis tenaga global dan konflik di Asia Barat termasuk kekangan dari segi logistik.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan berkenaan untuk dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Selasa depan.
"Penelitian ini penting bagi memahami impak krisis geopolitik dan tenaga terhadap rakan niaga serta keseluruhan ekosistem TikTok Shop.
"Ini termasuk perkhidmatan berkaitan yang menyokong operasi platform berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Raikan Raya TikTok Shop yang diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Pengarah Kanan Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan bahawa ketika ini terdapat lebih tujuh juta penstrim langsung (live streamers) terlibat dalam ekonomi TikTok Shop Malaysia yang telah menjana hasil sebanyak RM1.9 bilion serta mewujudkan kira-kira 147,000 peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini.
Menurutnya, pencapaian itu membuka ruang luas kepada rakyat untuk terlibat dalam ekonomi digital, sama ada memasarkan produk sendiri atau membantu menjual barangan pihak lain menerusi platform berkenaan.
Pada masa sama, beliau akan menggesa TikTok Shop Malaysia untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang kini mempunyai hampir 1,100 cawangan di seluruh negara.
"Banyak NADI berada di kawasan luar bandar dan ia boleh dimanfaatkan untuk melahirkan pencipta kandungan serta membantu komuniti menjual produk tempatan secara dalam talian melalui TikTok Shop," ujarnya.
Fahmi turut memaklumkan bahawa Pengerusi MCMC dijadual bertemu pihak pengurusan TikTok di Singapura pada Jumaat ini bagi membincangkan beberapa perkara penting termasuk isu berkenaan.
Beliau turut berharap kemudahan internet yang pantas dan meluas di Malaysia dapat terus dimanfaatkan rakyat untuk menjana pendapatan tanpa perlu meninggalkan rumah, selain membantu peniaga mengembangkan perniagaan melalui jualan dalam talian.
"Ini membuktikan keupayaan Malaysia mengadaptasi teknologi baharu di samping usaha kerajaan memastikan capaian internet yang pantas, meluas dan mampu milik," jelas jurucakap Kerajaan Perpaduan itu.


