Jualan Rahmah bergerak legakan penduduk pedalaman

10 Nov 2023 • 3:45 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA BERANG: Jualan Rahmah, inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan dengan harga murah, terus menjadi tumpuan rakyat termasuk di kawasan pinggir bandar dan pedalaman.

Tanpa mengira hujan atau panas, Jualan Rahmah Bergerak sentiasa ditunggu dan dipenuhi penduduk yang ingin membeli barang-barang keperluan dapur.

Di Dataran Kuala Telemong di Hulu Terengganu dekat sini, penduduk di sekitar kawasan itu mula memenuhi lokasi Jualan Rahmah Bergerak seawal 8 pagi, iaitu sebaik jualan bermula.

Bagi suri rumah, Siti Juhaida Kamaruddin, 40, dari Kampung Batu Hampar, Jualan Rahmah sememangnya dinanti-nantikan kerana ia dapat menjimatkan perbelanjaan mereka sekeluarga yang kini semakin kesempitan berikutan suaminya tidak dapat bekerja selepas ditimpa kemalangan jalan raya pada Ogos lepas.

“Sebelum ini pun saya dan suami akan berkunjung ke mana-mana Jualan Rahmah di sekitar Hulu Terengganu untuk membeli barang dapur kerana boleh jimat beratus ringgit berbanding beli di pasar raya atau kedai biasa.

“Macam hari ini harga barang murah seperti ayam hanya RM5.49 sekilogram (kg); beras gred super import 5 kg (RM13.50); minyak masak 5 kg (RM22.50); dan telur gred A (RM14),“ katanya ketika ditemui pada program Jualan Rahmah Bergerak Telemong di sini hari ini.

Seorang pekerja pembersihan, Wan Mohd Khairul Nizam Wan Mokhtar, 50, pula berkata Jualan Rahmah Bergerak amat membantu penduduk luar bandar dan pedalaman yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan tergolong dalam kelompok B40.

“Alhamdulillah dua, tiga hari lepas dapat duit Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM600. Dapatlah guna untuk beli barang dapur bagi keperluan selama sebulan.

“Saya harap kerajaan teruskan inisiatif sebegini kerana harga barang di kedai semakin mahal. Kami orang kampung sangat tertekan. Saya sendiri terpaksa membuat catuan membeli barangan asas sahaja kerana tak cukup duit setiap bulan,“ katanya.

Di PAHANG, meskipun hujan penduduk setempat tidak melepaskan peluang mengunjungi Jualan Rahmah Bergerak berhampiran Kampung Pantai Beserah di Kuantan hari ini.

Peniaga kuih Zaidah Abdullah, 44, yang menetap di Taman Beserah berkata cuaca tidak menghalang beliau ke program “kedai cari rakyat” itu berikutan kesemua barang yang dijual berbaloi untuk dibeli kerana murah daripada harga jualan di pasar raya.

“Semua barang ada atas meja saya beli kerana memang murah dan menjimatkan untuk orang meniaga ... macam tepung sebungkus dijual RM2, beras pun banyak potongan harga, kalau pergi kedai lain memang tak dapat harga macam ini,“ kata ibu dua anak itu ketika ditemui Bernama.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan penduduk mengunjungi jualan yang bermula kira-kira 9 pagi hingga 12 tengah hari itu untuk mendapatkan ayam yang dijual dengan harga RM10 seekor; beras lima kilogram (RM15) dan minyak masak lima kilogram (RM25).

Bagi warga emas, Natrah Mohd Noor, 67, beliau tidak melepaskan peluang ke Jualan Rahmah Bergerak yang dibuat berhampiran rumahnya itu untuk membeli beras dan minyak masak.

“Saya harap lebih banyak program seperti ini dianjurkan kerana ia memudahkan penduduk dan membantu golongan kurang berkemampuan apabila mereka menjual beras dan minyak masak dengan murah,“ katanya yang menetap di Pelindung.

Juliana Nasir, 35, pula berkata beliau mengetahui mengenai Jualan Rahmah Bergerak inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu menerusi media sosial dan ingin mendapatkan ayam dan beras dengan harga yang berbaloi.

“Saya tengok banyak barang yang ditawarkan dengan harga murah dan rugi jika tidak beli kerana dapat menjimatkan perbelanjaan keluarga,“ katanya. -Bernama