Samsung menangguh sementara jualan fon telinga Samsung Galaxy Buds3 Pro selepas pengguna awal di pasaran seperti Korea Selatan dan Amerika Syarikat melaporkan beberapa isu kualiti pada produk yang diterima. Antara rungutan yang dapat dilihat menerusi laman Reddit ialah putik telinga silikon yang mudah terkoyak walaupun baru dipakai beberapa hari.

Dalam kenyataan yang diberikan kepada pelanggan yang melakukan pratempahan di Amerika Syarikat, produk hanya akan diterima pada penghujung Ogos, lewat sebulan daripada tarikh penghantaran asal. Produk juga kini tidak boleh lagi dibeli menerusi beberapa stor atas talian di Amerika Syarikat.
Selain putik silikon terkoyak, pembeli juga melaporkan permukaan fon telinga yang calar balar. Isu kualiti ini menyebabkan Samsung menawarkan gantian kepada semua pengguna yang tidak berpuas hati dengan TWS yang diterima.
Isu ini tidak dilaporkan oleh pengguna awal Galaxy Buds3 kerana model ini tidak hadir dengan putik silikon. Kami masih sedang cuba mendapatkan maklum balas Samsung Malaysia untuk mengetahui sama isu kelewatan akan turut dialami oleh pelanggan yang telah melakukan pratempahan awal.
