Juara bertahan UiTM hadap cabaran pertahan takhta SUKIPT

27 Aug 2026 • 9:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Juara bertahan UiTM hadap cabaran pertahan takhta SUKIPT
Prof Mohd Sazili, Ahmad Tarmizy bersama barisan atlet UiTM semasa Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UiTM ke SUKIPT 2026 di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam pada Khamis.

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) bersedia mempertahankan kejuaraan keseluruhan apabila Kejohanan Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2026 membuka tirai di Universiti Malaya (UM) dari 28 Ogos hingga 6 September ini.

Pengarah Pusat Sukan UiTM, Ahmad Tarmizy Mohamed berkata, kontinjen itu menyasarkan 39 pingat emas, 17 perak dan enam gangsa pada edisi ketujuh temasya berkenaan.

Menurutnya, sasaran tersebut bagaimanapun perlu direalisasikan dalam keadaan beberapa cabaran, termasuk pengurangan acara yang dipertandingkan pada edisi kali ini.

Katanya, futsal wanita, sofbol wanita dan kayak tidak dipertandingkan, manakala ragbi wanita kekal dalam program tetapi pungutan pingatnya tidak diambil kira dalam penentuan kedudukan keseluruhan.

“Selain itu, cabaran turut membabitkan aspek logistik apabila pihak tuan rumah tidak dapat menyediakan penginapan yang berhampiran dengan venue pertandingan.

“Jarak perjalanan yang jauh serta kemungkinan kesesakan trafik menuntut pengurusan masa dan pergerakan kontinjen yang lebih tersusun bagi memastikan fokus atlet tidak terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UiTM ke SUKIPT 2026 di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam, hari ini, yang disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Dr Mohd Sazili Sahibi.

Sementara itu, Ahmad Tarmizy optimis pengalaman 510 atlet UiTM yang beraksi dalam 30 acara, termasuk sebahagian yang baru sahaja berentap pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, mampu menjadi kelebihan buat kontinjen berkenaan.

“Pendedahan di pentas kompetitif berintensiti tinggi memberikan nilai tambah dari segi mental, fizikal dan taktikal, selain membantu atlet lebih bersedia menghadapi persaingan di SUKIPT.

“Dengan gabungan pengalaman, kekuatan barisan atlet dan kesatuan pasukan, kami yakin sasaran yang ditetapkan mampu dicapai bagi memastikan UiTM terus mempertahankan kejuaraan keseluruhan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved