
KUALA LUMPUR: Pasangan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik tahu mereka akan menjadi buruan selepas merangkul gelaran juara dunia pada Ogos lepas, dan pihak lawan sudah pasti akan berusaha menganalisis corak permainan mereka.
Dengan Terbuka Denmark yang akan menjadi kejohanan pertama sejak memenangi gelaran sulung mereka dalam Kejohanan Badminton Dunia BWF 2022 di Tokyo, Jepun, Wooi Yik percaya dua kejohanan Eropah berturut-turut (termasuk Terbuka Perancis) akan menjadi ‘ujian litmus’ buat mereka dari segi mengawal emosi untuk mengatasi musuh di gelanggang.
“Sejak beberapa minggu lepas, kami cuba mengubah strategi dan taktik kerana saya percaya beregu lain akan mengkaji permainan kami selepas kejohanan dunia.
“Saya harap Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis akan menjadi pentas untuk membuktikan yang kami mampu mengawal emosi di dalam gelanggang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi latihan di sini hari ini.
Sementara itu, Aaron mengakui beliau lebih teruja untuk beraksi dalam Terbuka Denmark dan Perancis selepas mereka melakar nama dalam sejarah negara apabila menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran dunia itu.
Aaron berkata tahap keyakinan mereka semakin meningkat sejak memenangi gelaran dunia itu dan berharap dapat mengekalkan momentum ketika beraksi di Terbuka Denmark 2022 yang akan diadakan di Odense dari 18 hingga 23 Okt dan Terbuka Perancis pada 25 hingga 30 Okt di Paris.
Aaron-Woi Yik menewaskan juara dunia tiga kali Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia, 21-19, 21-14, pada final kejohanan dunia di Tokyo itu sekali gus menamatkan penantian 45 tahun Malaysia untuk meraih gelaran juara dunia yang pertama.-Bernama

