Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya setara luas 6 padang bola

LocalPolitics
2 Sep 2024 • 5:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Zahid (tengah) ketika sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS 2024) dekat sini pada Isnin. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Kemalangan jalan raya yang menyaksikan lebih 6,000 kematian di negara ini saban tahun disifatkan bersamaan dengan keluasan enam padang bola sepak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah itu, peratusan kemalangan dalam kalangan penunggang dan pembonceng motosikal adalah sangat tinggi.

"Kita dapati lebih daripada 6,000 kematian setiap tahun. Kubur-kubur ini bersamaan dengan keluasan enam padang bola," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang akhbar sempena Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS 2024) dekat sini pada Isnin.

Turut serta, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata, semua motosikal baharu dengan enjin berkapasiti 150cc ke atas wajib dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci (ABS) berkuat kuasa 1 Januari depan.

Ia susulan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan penggunaan sistem itu mampu menurunkan kadar kematian jalan raya sehingga 31 peratus membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Malaysia antara negara di Asia Tenggara yang berdepan isu ini. Walaupun kadar kematian per 100,000 orang menurun daripada 27 peratus pada 2000 kepada 22.5 peratus pada 2019, ia tetap antara yang tertinggi di dunia.

“Jadi saya yakin inisiatif ini akan mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia.

“Kita mula dengan menjadikan penunggang motosikal lebih selamat kerana 65 peratus daripada jumlah kematian jalan raya tahun lalu, membabitkan penunggang motosikal," jelasnya.

Beliau turut mencadangkan agar skop Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP) dapat diperluaskan ke luar negara merangkumi rantau Asia dalam meningkatkan keselamatan motosikal.

“Setakat ini, MyMAP telah menilai 28 model daripada tujuh pengeluar motosikal dan kesemuanya diberi penarafan bintang.

"Sekarang anda boleh tahu motosikal mana, dari syarikat mana yang lebih selamat dan yang mana tidak,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) bersetuju untuk menurunkan had laju daripada 40 kilometer per jam kepada 30 kilometer per jam di zon sekolah.

“Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi melaksanakan sistem pengurusan had laju ini seperti memasang palang atau bonggol bagi memperlahankan trafik di zon sekolah.

“Jika inisiatif ini berjaya mengurangkan kemalangan jalan raya di zon sekolah, kita mungkin mempertimbangkan untuk memperluaskannya di kawasan bersesuaian dalam bandar pula,” katanya.

Sementara itu, Anthony berkata, penyelarasan had laju di zon sekolah akan membabitkan beberapa kementerian, termasuk Kementerian Kerja Raya dan juga Kementerian Pendidikan.

"Jadi, kita akan mengambil sedikit masa untuk proses ini, Begitupun, saya ucapkan terima kasih kepada Ahmad Zahid kerana berani membuat keputusan tersebut yang mungkin tidak popular tetapi penting demi keselamatan anak-anak kita di sekolah," katanya.