
PUTRAJAYA – Jumlah pelancong dari empat negara Teluk – terkenal dengan kegemaran berbelanja besar – yang melawat Malaysia dijangka meningkat melebihi angka 55,000 tahun ini.
Kementerian Pelancongan berkata kehadiran pelancong ini akan memberi kesan yang signifikan terhadap pendapatan pelancongan melalui penginapan hotel, perbelanjaan makanan, dan aktiviti membeli-belah mereka.
Ia menambah bahawa Menteri Pelancongan Persekutuan, Datuk Seri Tiong King Sing kini sedang mengadakan lawatan kerja selama 10 hari ke beberapa negara Teluk – Oman, Kuwait, Bahrain, dan Emiriah Arab Bersatu – untuk mempromosikan Malaysia.
"Tahun lepas, seramai 40,384 pelancong dari empat negara Teluk ini datang ke Malaysia untuk bercuti.
"Mereka membelanjakan RM428.84 juta di negara ini sepanjang tempoh berada di sini.
"Tahun ini, kami menjangkakan jumlah pelancong dari empat negara ini yang datang ke Malaysia akan meningkat dan membantu memacu jumlah pelancong Teluk melebihi angka 55,000.
"Mereka dijangka membawa masuk tambahan puluhan juta ringgit terhadap pendapatan pelancongan tempatan kita," kata kementerian dalam satu kenyataan melalui Tourism Malaysia.
Tiong bukan sahaja mempromosikan tarikan pelancongan tetapi juga mengetengahkan banyak peluang untuk kerjasama merentas sempadan yang berkaitan dengan sektor pelancongan.
Topik seperti penghubungan udara, perdagangan, dan sektor pelaburan lain juga akan dibincangkan antara Tiong dan delegasinya dengan rakan-rakan dari negara Teluk.
Tiong juga turut mempromosikan pelan Malaysia My Second Home kepada penduduk negara Teluk, kata kementerian. – Getaran, 15 Ogos 2024



