Jumlah penumpang di Malaysia meningkat 8% kepada 6.8 juta pada Mei 2023 - MAHB
zulfadli
03/07/2023 - 11:43
KUALA LUMPUR 3 Julai - Jumlah pergerakan penumpang untuk operasi lapangan terbang di Malaysia direkodkan hampir 6.8 juta pada Mei 2023, meningkat 8% daripada 6.3 juta berbanding bulan sebelumnya, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
MAHB memaklumkan, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) masing-masing merekodkan 2.9 juta pergerakan penumpang antarabangsa dan 3.8 juta pergerakan penumpang domestik.
"Pada keseluruhannya, prestasi Malaysia menyumbang kepada hampir 70% daripada jumlah pergerakan penumpang global kumpulan pada 9.9 juta penumpang bulan lepas," katanya dalam kenyataan media di sini.
Sementara itu di Türkiye, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (SAW) melepasi paras 3 juta buat pertama kali selepas wabak bagi jumlah pergerakan penumpang pada Mei 2023.
Pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik masing-masing mencatatkan 1.6 juta dan 1.5 juta penumpang.
Terdahulu, KLIA menyertai program Akreditasi Pengalaman Lapangan Terbang Pelanggan (ACEA) pertama dan satu-satunya di dunia oleh Airports Council International (ACI) sebagai sebahagian daripada komitmennya ke arah memastikan kecemerlangan perkhidmatan yang berterusan.
ACI, pihak berkuasa organisasi global lapangan terbang yang menyatukan amalan industri penerbangan, menyasarkan ACEA untuk membimbing lapangan terbang dengan lebih baik dalam pengurusan pengalaman pelanggan melalui lima peringkat akreditasi.

KLIA telah mencapai akreditasi pertamanya dan menyertai lapangan terbang lain di seluruh dunia seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi, Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong dan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon yang juga telah diakreditasi oleh program yang sama, dalam usaha berkongsi kecemerlangan pengalaman pelanggan.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, pihaknya mengambil langkah berani untuk mengubah cara membawa penambahbaikan besar di lapangan terbang.
Katanya, dengan menyertai program akreditasi oleh ACI ini akan menjadi komitmen jangka panjang untuk KLIA kerana pihaknya berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam setiap aspek proses dan amalan operasi.
"Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa KLIA akan bergerak ke hadapan dan menaik taraf dalam program ini untuk memastikan pengalaman penumpang yang lancar.
"Sejak beberapa bulan lalu, kami telah memperkenalkan dan mempercepatkan inisiatif baharu untuk memenuhi keperluan penumpang yang semakin berkembang," katanya.
Menurut Iskandar Mizal, pihaknya berharap dapat memudahkan perkhidmatan untuk penumpang dan menghidupkan semula kegembiraan dalam perjalanan.
"Kami bercita-cita untuk mengembalikan KLIA ke dalam ranking peringkat teratas lapangan terbang terbaik dunia dengan mencipta pengalaman terbaik untuk penumpang mengikut janji jenama kami untuk menganjurkan sambungan yang menggembirakan," katanya. - DagangNews.com



