Jumlah perdagangan Malaysia melonjak 27.8% kepada RM2.8 trilion pada 2022 - DOSM

LocalBusiness & Finance
12 Jun 2023 • 4:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jumlah perdagangan Malaysia melonjak 27.8% kepada RM2.8 trilion pada 2022 - DOSM

zulfadli

12/06/2023 - 16:25

KUALA LUMPUR 12 Jun - Malaysia mencatatkan lonjakan dalam jumlah perdagangan sebanyak 27.8% kepada RM2.8 trilion pada 2022 berbanding RM2.2 trilion setahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Eksport meningkat 25% kepada RM1.6 trilion pada 2022 berbanding RM1.2 trilion pada 2021, manakala import meningkat 31.3% kepada RM1.3 trilion berbanding RM987.3 bilion setahun sebelumnya, katanya dalam satu kenyataan sempena laporan Statistik Perdagangan Malaysia Mengikut Negeri 2023 hari ini.

Ia berkata tujuh negeri mencatatkan pertumbuhan dua digit untuk eksport dan import iaitu Labuan, Sarawak, Kedah, Johor, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah.

Eksport yang lebih tinggi dicatatkan di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (RM107.7 bilion, 30.3%), Johor (RM84.7 bilion, 35.2%), Sarawak (RM45.4 bilion, 52.7%), Selangor (RM22.4 bilion, 8.8%), Kedah (RM14.4 bilion, 36.1%), Sabah (RM8.8 bilion, 27%), Labuan (RM8.2 bilion, 75.3%), Kuala Lumpur (RM2.9 bilion, 4.5%), dan Pahang (RM2.9 bilion, 8.9%), katanya.

Jabatan itu berkata, eksport juga meningkat di Negeri Sembilan (RM2.2 bilion, 9.4%), Melaka (RM1.2 bilion, 4.1%), Kelantan (RM1.2 bilion, 42.1%), Perlis (RM392.1 juta, 34.2%) dan Terengganu (RM325.7 juta, 1.9%).

Bagaimanapun, ia berkata eksport di Perak menyusut RM2.2 bilion atau 5.6% kepada RM37.1 bilion.

DOSM berkata, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama Malaysia dengan menyumbang 29.9%, diikuti Johor (21%) dan Selangor (17.8%).

image is not available

"Pertumbuhan eksport itu disokong oleh eksport litar elektronik bersepadu yang kukuh di Pulau Pinang dan Selangor, manakala produk petroleum bertapis merupakan penyumbang utama eksport di Johor," katanya.

Jabatan itu berkata, import yang lebih tinggi dicatatkan oleh semua negeri, iaitu Johor (RM96.3 bilion, 49.7%), Pulau Pinang (RM61.1 bilion, 26.4%), Selangor (RM56 bilion, 20.2%), Kedah (RM16.2 bilion, 28%), Melaka (RM15.6 bilion, 61.4%), Kuala Lumpur (RM15.5 bilion, 21%), dan Negeri Sembilan (RM12.9 bilion, 41.2%).

Ia berkata, peningkatan dalam import turut dicatatkan oleh Sarawak (RM10.8 bilion, 46%), Pahang (RM7.3 bilion, 47.7%), Perak (RM4.8 bilion, 14.9%), Sabah (RM2.1 bilion, 25.8%), Labuan (RM1.4 bilion, 71.2%), Terengganu (RM1.1 bilion, 21.9%), Perlis (RM425 juta, 50.9%) dan Kelantan (RM191 juta, 9.9%).

Sementara itu, DOSM menyatakan Selangor kekal mendominasi import Malaysia dengan 25.7%, diikuti Pulau Pinang (22.6%) dan Johor (22.4%), lapor Bernama.

Import yang tinggi dicatatkan di Selangor disumbangkan oleh barangan elektrik dan elektronik lain. Di samping itu, litar elektronik bersepadu merupakan penyumbang utama import di Pulau Pinang. Manakala keluaran petroleum bertapis merupakan penyumbang utama import di Johor. - DagangNews.com