GEORGE TOWN – Jumlah pesakit warga asing yang mendapatkan rawatan di 16 hospital swasta di Pulau Pinang meningkat kepada 527,176 orang pada tahun 2025 berbanding 418,608 orang pada tahun sebelumnya.
Jumlah itu sekali gus mencatat peningkatan sebanyak 25.94 peratus.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, peningkatan itu turut menyaksikan janaan pendapatan melonjak kepada RM1.136 bilion berbanding RM898.07 juta pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 26.60 peratus.
Menurutnya, data daripada Penang Centre of Medical Tourism (PMED) itu membuktikan Pulau Pinang terus menjadi antara destinasi utama pelancongan perubatan di rantau ini.
“Sempena Malaysia Year of Medical Tourism (MYMT) 2026, pelbagai langkah strategik sedang dilaksanakan bagi memperkukuh lagi sektor ini,” katanya katanya pada Mensyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Pulau Pinang ke-15 di sini pada Isnin.
Hon Wai (DAP-Paya Terubong) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ong Ah Teong (DAP-Batu Lanchang) mengenai pencapaian Pulau Pinang dalam sektor pelancongan perubatan.
Dalam pada itu, Hon Wai berkata, antara inisiatif yang diperkenalkan termasuk kerjasama bersama syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia menerusi program Boarding Pass Privileges.
Katanya, menerusi program itu, penumpang dari luar Malaysia yang memegang pasport asing boleh menikmati diskaun sebanyak 15 peratus bagi pakej pemeriksaan kesihatan bermula 1 Oktober 2025 hingga 31 Disember 2026.
"Pesakit asing kini turut diberikan pilihan membuat pembayaran menggunakan mata wang negara asal seperti Rupiah Indonesia menerusi kod Quick Response Indonesian Standard (QRIS).
“Melalui kemudahan ini, jumlah bayaran dipaparkan terus dalam Rupiah tanpa perlu membuat pengiraan kadar pertukaran mata wang selain menawarkan kadar pertukaran yang lebih rendah berbanding penggunaan kad debit atau kredit,” katanya.
Tambah beliau, PMED turut aktif menyertai program promosi dan pameran antarabangsa bersama Penang Global Tourism ke beberapa negara seperti China, Indonesia, Singapura dan Taiwan.
Menurutnya, pihak berkenaan juga menyertai pameran perdagangan anjuran Malaysia Healthcare Travel Council, Tourism Malaysia serta organisasi lain di rantau ini termasuk Myanmar.
Dalam pada itu, Hon Wai berkata, usaha mengukuhkan rangkaian penerbangan ke bandar yang mempunyai permintaan tinggi terhadap pelancongan perubatan seperti Medan, Acheh, Jakarta, Surabaya dan Yangon turut diberi perhatian.


