Jenayah libatkan warga asing membimbangkan

LocalPolitics
8 May 2026 • 9:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jenayah libatkan warga asing membimbangkan
Polis menahan 11 warga asing dalam beberapa serbuan di Chemor, Perak dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang disyaki terlibat dalam sindiket samun berkumpulan bersenjatakan parang pada 9 April lalu.

KES jenayah melibatkan warga asing yang kerap dilaporkan sejak kebelakangan ini menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan tidak boleh dipandang ringan.

Kes seperti pergaduhan, samun, penyeludupan, pemalsuan dokumen, kegiatan gengsterisme yang dikaitkan dengan segelintir warga asing semakin kerap dilaporkan sehingga mencetuskan persepsi negatif terhadap komuniti tersebut secara keseluruhan.

Hakikatnya, tidak semua warga asing terlibat dalam jenayah kerana majoriti hadir ke negara ini untuk bekerja dan mencari rezeki secara sah.

Namun kelemahan dalam aspek kawalan, penguatkuasaan dan pemantauan membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

Antara persoalan utama ialah bagaimana individu yang mempunyai rekod jenayah atau masuk secara tidak sah boleh berada lama di negara ini tanpa dikesan.

Situasi ini menunjukkan masih terdapat kelompongan dalam sistem pengurusan kemasukan pekerja asing termasuk isu penyalahgunaan pas lawatan, sindiket pemerdagangan manusia dan kegiatan membawa masuk pendatang tanpa izin melalui laluan tikus.

Faktor ekonomi dan tekanan hidup turut menyumbang kepada peningkatan jenayah. Ada warga asing yang bekerja dalam keadaan serba kekurangan, gaji tidak dibayar atau tinggal di kawasan sesak sehingga mudah terjebak dengan kegiatan tidak sihat demi kelangsungan hidup.

Dalam masa sama, kewujudan majikan atau ejen tidak bertanggungjawab yang menggaji pekerja tanpa dokumen sah memburukkan lagi keadaan.

Apa yang lebih membimbangkan ialah kewujudan kumpulan jenayah terancang yang menggunakan warga asing sebagai ‘alat’ untuk menjalankan kegiatan haram kerana mereka dianggap sukar dikesan atau mudah diperalatkan.

Justeru, kerajaan perlu memperketat proses saringan kemasukan warga asing termasuk semakan rekod jenayah dari negara asal serta penggunaan sistem biometrik yang lebih menyeluruh.

Operasi penguatkuasaan juga tidak boleh bermusim semata-mata selepas berlaku kes tular.

Dalam masa sama, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap majikan, ejen atau mana-mana pihak yang melindungi pendatang asing tanpa izin.