Jumlah Stesen Pengecasan EV Di Malaysia Akan Ditambah Ke 4000 Pada Tahun Hadapan

TechnologyDigitalCars
29 Oct 2024 • 3:53 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Kerajaan Malaysia, melalui pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan menggunakan kenderaan-kenderaan elektrik (EV) sebagai pengangkutan rasmi berkaitan urusan rasmi program-program ASEAN pada tahun hadapan.

Untuk ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengatakan bahawa mereka akan menambah jumlah stesen pengecasan EV di seluruh negara pada tahun hadapan.

Kini, ia dilaporkan bahawa terdapat sebanyak 2000 stesen pengecasan EV di seluruh negara, dimana kebanyakannya tertumpu kepada kawasan bandar. Kerajaan sudahpun mempunyai pelan sedia ada untuk menambahkan jumlah stesen pengecasan EV kepada 10,000 menjelang 2030.

image is not available

Akan tetapi untuk masa terdekat ini, khususnya apabila kedudukan Pengerusi kumpulan ASEAN akan dipegang oleh Malaysia pada tahun hadapan, kerajaan Malaysia nampaknya akan berusaha untuk menambahkan jumlah stesen pengecasan kepada 4000 stesen pada tahun hadapan.

Penggunaan EV yang semakin meningkat dijangka akan membantu negara untuk mengurangkan jejak karbon, dan ini, bersama-sama dengan kemaskini kepada sektor pengeluaran dalam menggunakan tenaga lestari akan membantu negara dalam membolehkan kerajaan mencapai cita-cita untuk memastikan bahawa 40 peratus daripada penggunaan tenaga di negara ini adalah menggunakan sumber tenaga lestari menjelang 2030 juga.

Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air mengatakan bahawa salah satu cara untuk mempercepatkan proses penambahan jumlah stesen pengecasan EV ini ialah bukan sahaja melalui Tenaga Nasional, tetapi juga dengan bantuan sektor swasta, khususnya syarikat-syarikat yang kini sudahpun sedia menawarkan pengecas EV alternatif.

Dalam pada itu, beliau juga mengatakan bahawa kadar penggunaan EV haruslah seiring dengan kepastian bahawa bekalan elektrik sedia ada mencukupi untuk kegunaan lain seperti untuk isi rumah, bangunan-bangunan komersil dan juga pusat data, yang kini juga dilihat memerlukan penggunaan tenaga elektrik yang lebih banyak.