Jumpa bom, operasi landasan Lapangan Terbang Labuan terjejas

26 Jun 2026 • 6:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jumpa bom, operasi landasan Lapangan Terbang Labuan terjejas
Penutupan sementara landasan itu dimaklumkan TUDM pada jam 5 petang tadi. - Kredit Facebook Malaysia Airports

LABUAN - Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Labuan terganggu susulan penutupan sementara landasan selepas penemuan beberapa bom pada jarak kira-kira 150 meter dari landasan berkenaan.

Menurut Notis kepada Juruterbang (NOTAM) yang dimuat naik menerusi Facebook Malaysia Airports, penutupan sementara landasan itu dimaklumkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 5 petang tadi dan berkuat kuasa sehingga dimaklumkan kelak.

TUDM bersama pihak berkuasa lapangan terbang kini menjalankan pemeriksaan bersama di kawasan landasan yang hanya akan dibuka semula selepas pemeriksaan selesai serta pengesahan keselamatan dikeluarkan.

Susulan penutupan itu, penerbangan dari Labuan ke Miri dan Kota Kinabalu dibatalkan, manakala beberapa penerbangan lain yang dijadual tiba dan berlepas terpaksa dilencongkan, ditangguhkan atau mengalami perubahan operasi.

Penumpang yang dijadual melakukan perjalanan ke dan dari Labuan dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan terkini serta urusan perjalanan masing-masing dengan syarikat penerbangan sebelum ke lapangan terbang.

Maklumat lanjut berhubung perkembangan situasi itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Tinjauan Bernama di Lapangan Terbang Labuan mendapati beberapa penerbangan bermula pukul 4.05 petang, 5.15 petang, 6.05 petang, 6.15 petang dan 7.25 malam ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu serta Miri terjejas.- Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved