'Jun adalah masa terbaik adakan PRN'

Politics
24 Jan 2023 • 12:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Chow Kon Yeow

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang tetap dengan pandangannya bahawa masa yang terbaik untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) adalah antara Mei hingga Julai.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, seperti yang dinyatakan sebelum ini, pemimpin Pakatan Harapan (PH) negeri yang bermesyuarat minggu lalu bersetuju bahawa Jun adalah masa terbaik untuk mengadakan PRN kerana tempoh waktu singkat bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Kita telah menyatakannya berulang kali.

"Kita akan berpegang kepada apa yang dikatakan sebelum ini, sama ada Mei, Jun atau Julai (untuk mengadakan PRN)," katanya pada Isnin.

Kon Yeow berkata demikian ketika diminta untuk mengulas kenyataan Pas yang tidak akan membuat keputusan bersama dengan PH dalam menentukan pembubaran DUN di tiga negeri yang diterajuinya iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jika negeri diterajui PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan mahu membubarkan DUN Jun ini, itu terpulang kepada mereka.

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang menambah, sekiranya Pas memilih untuk mengadakan PRN secara berasingan, pihaknya turut tidak mempunyai pilihan.

"Sebaiknya semua enam negeri boleh mengadakannya (PRN) serentak. Jika berasingan, ia akan melibatkan kos dan masa yang banyak," tambah beliau.

Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata bahawa DUN negeri itu dijangka dibubarkan pada Mei bagi memberi laluan kepada PRN.

Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR berkata, ia berdasarkan perbincangan tidak rasmi dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri di enam negeri terbabit sebelum menghadiri Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Bulan lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan enam negeri yang masih belum mengadakan pilihan raya perlu mempertimbangkan untuk berbuat demikian secara serentak bagi membantu SPR menyelaraskan penempatan tenaga kerja di kesemua negeri tersebut dengan lebih baik, dengan menganggarkan kos keseluruhan RM450 juta.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved