
ALOR GAJAH: Usaha memperkasa ekonomi setempat bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda menjadi antara agenda utama calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Calon PH, Junainah Sahat berkata, pembangunan kawasan itu penting bagi mengurangkan kebergantungan golongan muda terhadap peluang pekerjaan di luar negeri.
Menurutnya, ramai anak muda dari Taboh Naning terpaksa berhijrah ke negeri lain termasuk Kuala Lumpur dan Johor untuk mencari pekerjaan.
“Saya mahukan kemajuan untuk kawasan ini bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan disediakan kepada golongan muda dan belia.
“Di kawasan ini ramai anak muda keluar ke tempat lain seperti Kuala Lumpur dan Johor.
“Jadi, sekiranya kawasan ini lebih membangun, ia sekali gus dapat meningkatkan peluang pekerjaan serta ekonomi,” katanya ketika ditemui.
Mengulas mengenai perjalanan kempen, Junainah atau lebih mesra disapa Ajue Sahat berkata, beliau terus memberikan tumpuan kepada pendekatan bersemuka menerusi kunjungan dari rumah ke rumah dan premis perniagaan bagi mendekati pengundi.
Katanya, sempena sambutan Deepavali, beliau turut bertemu masyarakat India sebelum meneruskan ziarah ke kediaman penduduk di Taman Jati Indah.
Beliau berkata, masalah banjir, sistem perparitan serta kemudahan internet dan komunikasi antara isu yang dibangkitkan penduduk sepanjang kempen.
Katanya, kemudahan asas berkenaan masih memerlukan penambahbaikan bagi memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan itu terus terpelihara.
Bagaimanapun, katanya, isu tersebut tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyalahkan kepemimpinan sedia ada, sebaliknya penyelesaian perlu dicari melalui saluran sewajarnya.
“Kita tidak mahu mencari salah pemimpin sedia ada. Ada isu kritikal dan kita perlu mencari saluran yang betul supaya perkara itu tidak memberi kesan buruk kepada semua pihak,” katanya.-UTUSAN.
The post Junainah mahu perkasa ekonomi DUN Taboh Naning appeared first on Utusan Malaysia.





