
PENGENDALI interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menganggap jurang kualiti antara pasukannya dengan kuasa besar Asia Tenggara seperti Thailand dan Indonesia sudah terbukti tidak terlalu ketara.
Bagaimanapun, Cheng Hoe mengakui barisan pemain masih perlu melakukan ‘kerja rumah’ jika mahu benar-benar bersaing merebut kejuaraan selepas menamatkan saingan Piala ASEAN FIFA 2026 di kedudukan ketiga.
Kata Cheng Hoe, keupayaan bersaing sahaja belum memadai kerana skuad kebangsaan perlu melangkah setapak lagi dengan memperkemaskan aspek tertentu, terutama daripada segi menyudahkan setiap peluang terhidang.
“Kalau kita lihat dalam tiga atau empat perlawanan ini, kita mampu bersaing dan memberikan tentangan yang hebat.
“Namun, kita tidak boleh cepat berpuas hati dan perlu terus berkembang dengan meningkatkan tahap kualiti kerana ada banyak perkara atau perincian yang perlu kita perbaiki.
“Dalam bola sepak ASEAN, banyak negara sudah meningkat. Kita perlu menghadapi cabaran itu dengan satu lagi tahap keyakinan untuk perlawanan akan datang,” katanya.
Sementara itu, Cheng Hoe mengakui Harimau Malaya sudah tidak perlu pening kepala memikirkan tentang aspek serangan selepas pemain naturalisasi baharu, Bergson da Silva cemerlang meledak empat gol pada kempen kali ini.
“Secara keseluruhan, dari segi permainan, penyudah itu yang penting. Kalau kita ada satu atau dua peluang, kita perlu memanfaatkan peluang tersebut.
“Namun, kemunculan Bergson sedikit sebanyak memberi kita nafas baharu di bahagian serangan dan kita juga nampak pemain muda seperti Fergus Tierney turut memberikan harapan kepada kita.
“Saya juga harapkan pemain-pemain (di posisi penyerang) dapat menyerlah dalam Liga Malaysia musim ini,” katanya.
The post Jurang kualiti semakin rapat appeared first on Kosmo Online.

