johardy02/11/2026 - 17:38 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov - Juruaudit luar SMTrack Berhad, LTTH PLT menerbitkan penafian pendapat audit (disclaimer of opinion) terhadap penyata kewangan kumpulan bagi tempoh berakhir 30 Jun 2026 berikutan kekurangan dokumen sokongan, penilaian pengurusan dan rekod perakaunan terkini yang mencukupi untuk tujuan pengauditan.
Menurut pengumuman SMTrack kepada Bursa Malaysia hari ini, laporan juruaudit bertarikh 29 Oktober 2026 itu diterbitkan susulan kekurangan bukti audit yang mencukupi untuk membolehkan juruaudit membentuk pendapat terhadap penyata kewangan berkenaan, di samping kedudukan kewangan kumpulan yang lemah.
Lembaga pengarah SMTrack memaklumkan bahawa beberapa langkah pembetulan akan dilaksanakan bagi menangani perkara yang menyebabkan penafian pendapat audit tersebut.
Antaranya termasuk menyemak pengelasan aset, susut nilai dan pelunasan melibatkan pesawat, loji dan peralatan, aset tidak ketara, muhibah daripada penyatuan serta pelaburan dalam anak syarikat.
Syarikat juga akan menjalankan penilaian kemerosotan nilai aset mengikut Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia MFRS 136, dengan mendapatkan bantuan profesional bebas sekiranya diperlukan.
SMTrack perlu kemuka pelan pemulihan sebelum April 2027
SMTrack turut mengesahkan bahawa syarikat telah diklasifikasikan sebagai syarikat tersenarai terjejas di bawah Nota Panduan 3 (GN3) sejak 13 April 2026.
Sehubungan itu, lembaga pengarah sedang merangka pelan pemulihan yang perlu dikemukakan kepada Bursa Malaysia selewat-lewatnya pada 12 April 2027.
Bagi penghutang perdagangan dan penghutang lain bukan semasa, syarikat akan mendapatkan dokumen perjanjian, rekod transaksi serta pengaturan penyelesaian bagi menilai kemungkinan mendapatkan semula jumlah yang masih terhutang mengikut piawaian MFRS 9 Instrumen Kewangan.
SMTrack juga akan mendapatkan pengesahan dan dokumen berkaitan jumlah yang perlu dibayar serta pinjaman bagi membolehkan juruaudit mengesahkan baki tertunggak, faedah dan syarat pembayaran balik.
Selain itu, syarikat akan memperkukuh fungsi kewangan dan kawalan dalaman, termasuk memastikan rekod perakaunan lengkap dan terkini diselenggara bagi semua syarikat dalam kumpulan.
Lembaga pengarah turut merancang untuk menyemak dan menyelaraskan baki pembukaan akaun berdasarkan rekod serta dokumen sokongan, selain meningkatkan pengawasan Jawatankuasa Audit terhadap proses pelaporan kewangan kumpulan.
SMTrack menjangkakan langkah pembetulan itu dilaksanakan secara berperingkat dan isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan dalam tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027, tertakluk kepada sebarang keadaan luar jangka. - DagangNews.com

