johardy28/10/2026 - 18:09 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Okt - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak rayuan bekas penasihat Lembaga Pengarah Axis Incorporation Berhad, Lee Koon Huat, terhadap sabitan dan hukuman atas empat pertuduhan bersubahat mengemukakan penyata kewangan palsu kepada Bursa Malaysia.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam satu kenyataan memaklumkan mahkamah mengekalkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM200,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah denda RM800,000, dengan hukuman penjara berjalan serentak.
Mahkamah membenarkan permohonan Lee untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara, tetapi menolak penangguhan pembayaran denda. Lee perlu membayar keseluruhan denda itu hari ini atau menjalani hukuman penjara kerana gagal membayarnya.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noor Ruwena Md Nurdin, memutuskan pihak pendakwaan telah membuktikan pertuduhan terhadap Lee melampaui keraguan munasabah dan tiada alasan untuk mengganggu keputusan Mahkamah Sesyen.
Mahkamah turut bersetuju dengan hujahan SC bahawa hukuman yang dikenakan adalah bersesuaian dengan peranan Lee dalam kesalahan berkenaan.
Arah hasil syarikat dilaporkan lebih tinggi
Lee pada asalnya didakwa di Mahkamah Sesyen pada 26 Mac 2013 atas empat pertuduhan mengikut Seksyen 122C(c) dibaca bersama Seksyen 122B(a)(bb) Akta Perindustrian Sekuriti 1983 kerana bersubahat dengan Axis mengemukakan penyata kewangan palsu berkaitan hasil bagi tahun kewangan 2007.
Menurut SC, keterangan semasa perbicaraan membuktikan Lee mengarahkan supaya hasil yang dilaporkan dalam keempat-empat keputusan suku tahunan belum diaudit Axis bagi tahun kewangan 2007 dinaikkan.
Selepas perbicaraan penuh, Hakim Mahkamah Sesyen, Azman Ahmad, mensabitkannya atas semua pertuduhan pada 11 April 2022.
SC sebelum ini turut mendakwa tiga bekas pengarah eksekutif Axis, Lee Han Boon, Saipuddin Lim Abdullah dan Koh Tee Jin, atas lima pertuduhan setiap seorang kerana dengan pengetahuan membenarkan penyata kewangan palsu berkaitan hasil syarikat bagi tahun kewangan 2007 dan 2008 dikemukakan.
Ketiga-tiganya mengaku bersalah melalui permohonan rundingan pengakuan ketika kes pendakwaan masih berjalan dan dijatuhi hukuman penjara antara sehari hingga 12 bulan. Lee Han Boon dan Koh Tee Jin turut dikenakan denda RM200,000 setiap seorang, manakala perbicaraan diteruskan terhadap Lee Koon Huat sahaja.
SC menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi itu memperkukuh kepentingan ketepatan dan integriti pelaporan kewangan syarikat tersenarai awam serta komitmennya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat atau membantu penyebaran maklumat palsu atau mengelirukan kepada pelabur. - DagangNews.com






