
LUAR NEGARA – Seorang jurugambar perkahwinan berdepan detik memalukan apabila diarah menghentikan tugas dan diminta pulang secara kasar oleh ahli keluarga pengantin ketika majlis sedang berlangsung.
Insiden menyayat hati itu menjadi tular selepas dimuat naik di TikTok menerusi akaun @soupdate sehingga meraih ratusan ribu tontonan serta ribuan komen daripada netizen yang bersimpati.
Dalam rakaman tersebut, jurugambar berkenaan dilihat mengemas peralatan kameranya dengan wajah sugul dan mata berkaca-kaca sebaik diminta berhenti bekerja.
Baru mula bertugas, terus ditegur
Berdasarkan kronologi dikongsikan, jurugambar daripada Bamboo Art Photography itu pada awalnya sedang menjalankan tugas seperti biasa, merakam gambar keluarga serta tetamu yang naik ke pelamin.
Namun, selepas kira-kira 10 keping gambar diambil, seorang lelaki warga emas dipercayai datuk kepada pengantin lelaki datang menegur dan meminta sesi fotografi dihentikan kerana majlis dikatakan sibuk.
Jurugambar tersebut cuba bersikap profesional dan meneruskan tugas kerana masih ada tetamu yang sedang menunggu giliran.
Tidak lama kemudian, teguran kedua diberikan dengan nada lebih tegas.
“Ini yang terakhir, selepas ini berhenti.”
Pengantin sendiri minta sesi terakhir
Selepas diminta berhenti, jurugambar itu akur dan mula mengemas peralatannya untuk pulang.
Namun situasi bertambah sebak apabila pengantin memberi isyarat seolah-olah memohon satu sesi gambar terakhir bersama tetamu.
Memandangkan dia dibayar terus oleh pihak pengantin, jurugambar tersebut bersetuju untuk mengambil satu lagi gambar.
Malangnya, sebelum sempat merakam, lelaki warga emas itu datang semula dalam keadaan marah.
“Kalau saya cakap berhenti, berhenti. Balik saja, nanti saya tampar!”
Walaupun sudah menjelaskan secara baik bahawa dia hanya menjalankan tugas dan kasihan melihat tetamu yang sudah bersedia, permintaannya tetap ditolak.
Malah, dia turut diberitahu bahawa gambar “tidak penting”.
Netizen anggap tindakan keterlaluan
Akhirnya, jurugambar berkenaan terpaksa meninggalkan lokasi dengan perasaan sedih dan kecewa.
Video itu mengundang kemarahan ramai yang menyifatkan layanan tersebut sebagai tidak beradab serta tidak menghormati jurugambar yang diupah..
Rata-rata netizen tampil memberi kata semangat dan mendoakan rezekinya lebih murah selepas ini.
Pada pandangan ramai, walau sesibuk mana sekalipun sesuatu majlis, pekerja atau jurugambar yang diupah tetap wajar dilayan dengan baik kerana mereka juga mencari rezeki secara halal. – The Malaysian Update
The post Jurugambar Majlis Kahwin Diherdik & Diarah Balik Depan Tetamu, Video Tular Undang Simpati Ramai appeared first on The Malaysian Update.
