Jurujual kereta kini bergelar putera Belgium

24 Aug 2026 • 1:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jurujual kereta kini bergelar putera Belgium

BRUSSELS: Seorang jurujual kereta di Belgium kini bergelar putera pada usia 26 tahun selepas diiktiraf sebagai anak Putera Laurent, adik kepada Raja Philippe.

Clement Vandenkerckhove sebelum ini tidak mengetahui identiti bapa sehingga ibunya, seorang penyanyi Belgium yang pernah menjalin hubungan dengan Putera Laurent pada 1990-an, mendedahkannya ketika dia berusia 16 tahun.

Pengiktirafan itu hanya dibuat secara rasmi kira-kira enam bulan lalu dalam satu majlis ringkas di dewan bandar raya, selepas ujian DNA mengesahkan kaitannya dengan keluarga diraja.

Laurent, 63, kemudian mendaftarkan pengakuan bapanya terhadap Vandenkerckhove dalam daftar sivil Belgium, lapor The Telegraph.

Vandekerckhove kini diiktiraf sebagai anak dan pewaris Laurent. Pengiktirafan itu memberinya hak pewarisan yang sama rata terhadap harta persendirian Laurent bersama adik-beradik tirinya, Puteri Louise, 20, serta Putera Nicolas, 20, dan Putera Aymeric, 19. 

Ketiga-tiganya merupakan anak Laurent bersama Puteri Claire, yang dikahwininya pada 2003.

Namun, Vandenkerckhove tidak akan menerima elaun diraja, dijangka tidak menjalankan tugas rasmi dan tiada hak untuk menaiki takhta Belgium.

Vandenkerckhove juga boleh menggunakan nama keluarga bapanya, Saxe-Coburg, namun memberi petunjuk dia mungkin tidak berbuat demikian.

Ini bukan kali pertama rahsia membabitkan keluarga diraja Belgium terbongkar.

Bapa Laurent, yang kini berusia 92 tahun, pernah berdepan pertikaian paterniti selama bertahun-tahun sebelum mengakui pada 2020 bahawa beliau mempunyai seorang anak perempuan hasil hubungan sulit.

Delphine Boël, 58, akhirnya memenangi tuntutan undang-undangnya dan diberikan gelaran puteri.

 

The post Jurujual kereta kini bergelar putera Belgium appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved