Jururawat Belajar Bahasa Isyarat Demi Pesakit Pekak, Ramai Tersentuh Hati

LocalHealth & Fitness
26 Jan 2026 • 12:47 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Dalam dunia perubatan yang selalunya sibuk, pantas dan penuh tekanan, kadang-kadang perkara paling kecil itulah yang paling menyentuh hati. Bukan semua rawatan hadir dalam bentuk ubat atau suntikan, ada masanya layanan penuh empati dan usaha memahami pesakit sudah cukup membuatkan seseorang rasa dihargai.

Itulah yang dapat dilihat menerusi satu video tular di media sosial, apabila seorang jururawat sanggup meluangkan masa mempelajari bahasa isyarat semata-mata mahu memastikan pesakit pekak tidak berasa terasing ketika menerima rawatan. Tindakan ringkas itu bukan sahaja memudahkan komunikasi, malah membuatkan ramai tersentuh melihat keikhlasan yang ditunjukkan.

Tular satu video di TikTok memaparkan momen menyentuh hati apabila seorang jururawat dilihat berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat dengan pesakit pekak ketika sesi orientasi rawatan.

Video yang dikongsikan menerusi akaun @yuyulalaa dengan kapsyen “orientasi patient deaf” itu nyata mencuri perhatian ramai.

Menerusi rakaman berkenaan, jururawat terbabit dilihat bersungguh-sungguh menggunakan bahasa isyarat bagi memastikan pesakit memahami setiap penerangan diberikan, sekali gus membuktikan bahawa jurang komunikasi bukan penghalang untuk memberikan rawatan terbaik.

Netizen Cadang Bahasa Isyarat Jadi Subjek Wajib

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum dan memuji keprihatinan yang ditunjukkan, malah ada yang mencadangkan agar bahasa isyarat dijadikan subjek wajib di institusi kejururawatan.

“Bagus. Perkara ini boleh dijadikan subjek tambahan di setiap kolej jururawat. Harapnya semua KSKB di Malaysia menyediakan pembelajaran bahasa isyarat,” tulis seorang pengguna.

Seorang lagi netizen turut memuji jururawat berkenaan sebagai individu yang memiliki pakej lengkap dari segi penampilan, kepakaran dan kemahiran.

Pemilik akaun, @yuyulalaa pula memaklumkan dia mempelajari bahasa isyarat tersebut daripada adiknya.

“Alhamdulillah, kebetulan belajar dengan adik,” katanya.

Dalam masa sama, terdapat juga komen bersifat santai yang mencuit hati apabila seorang pengguna mengakui pada awalnya dia menyangka jururawat itu ingin membuat isyarat bentuk hati dengan tangan.

Perkongsian itu sekali gus memperlihatkan bagaimana usaha kecil dan keikhlasan seorang petugas kesihatan mampu memberi kesan besar kepada pesakit, malah menyentuh hati ribuan netizen.

Kadang-kadang, bahasa paling kuat bukanlah kata-kata, tetapi usaha untuk benar-benar memahami. – The Malaysian Update

The post Jururawat Belajar Bahasa Isyarat Demi Pesakit Pekak, Ramai Tersentuh Hati appeared first on The Malaysian Update.