Jururawat ‘Berhati Emas’ Dapat Perhatian Menteri Kesihatan, Kisah Nur Deena Terus Sentuh Hati Rakyat

LocalHealth & Fitness
25 Jan 2026 • 4:19 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Dalam dunia hospital yang sinonim dengan ubat, suntikan dan rawatan, kadang-kadang apa yang paling menyembuhkan sebenarnya bukanlah peralatan perubatan, tetapi sentuhan ihsan dan layanan penuh kasih sayang.

Itulah yang membuatkan ramai sebak apabila menyaksikan seorang jururawat tanpa mengira bangsa atau latar belakang, setia menyantuni pesakit warga emas dengan penuh empati, seolah-olah melayan ahli keluarga sendiri.

Terdahulu, tular satu video yang dimuat naik oleh The Malaysian Update (TMU) memaparkan kebaikan seorang jururawat menyantuni pesakit warga emas berlainan bangsa dengan penuh kasih sayang.

Menerusi rakaman tersebut, jururawat berkenaan dilihat melayan pesakit itu dengan lembut, sabar serta penuh empati, sekali gus menyentuh hati ramai netizen.

Video berkenaan mencatatkan lebih 6 juta tontonan, 545,600 tanda suka dan 26,600 komen, malah turut dikongsi semula beberapa portal berita utama negara.

Menteri Kesihatan tampil beri penghargaan

Terkini, kisah menyentuh hati itu mendapat perhatian Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Menerusi hantaran di Facebook rasminya, beliau memaklumkan telah bertemu sendiri dengan jururawat terbabit, Nur Deena Nadzhiefa, ketika perasmian Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya.

Menurut beliau, video tersebut benar-benar memberi kesan mendalam.

“Video tular Jururawat Nur Deena Nadzhiefa menyantuni pesakit warga emas berbangsa India baru-baru ini benar-benar menjentik hati saya.

Hari ini, di perasmian Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya, saya bertemu sendiri dengan tuan empunya badan.

Anugerah yang saya sampaikan ini kecil nilainya berbanding nilai ihsan yang Deena tunjukkan.

Beliau membuktikan bahawa ubat paling mujarab di hospital bukan hanya pil atau suntikan, tetapi layanan penuh empati.

Terima kasih saudari Deena, kerana menghidupkan jiwa ‘Malaysia’ dalam tugas seharian. Semoga menjadi inspirasi buat kita semua.”

Perkongsian tersebut turut dihujani pujian warga maya yang tersentuh dengan keikhlasan jururawat berkenaan. Ramai menyifatkan Deena sebagai “jururawat kiriman Tuhan”, malah ada yang mengakui video berkenaan membuat hati mereka “koyak” melihat layanan penuh empati terhadap pesakit warga emas berbangsa India itu.

Tidak kurang juga yang mengucapkan tahniah serta berterima kasih kerana beliau membawa nilai kemanusiaan dan semangat perpaduan dalam tugas hariannya di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Kisah ini sekali lagi membuktikan bahawa sentuhan kemanusiaan dan kasih sayang seorang petugas kesihatan mampu memberi makna lebih besar daripada sekadar rawatan perubatan.

Kadang-kadang, layanan penuh ihsan itulah penawar paling mujarab. – The Malaysian Update

@malaysianupdatenews Pengorbanan Seorang Jururawat Undang Sebak, Netizen Luah Rasa Hormat #malaysianupdate #themalaysianupdate #malaysianupdatenews #TMUnews #viral ♬ bunyi asal – LAGUTERBAIK

The post Jururawat ‘Berhati Emas’ Dapat Perhatian Menteri Kesihatan, Kisah Nur Deena Terus Sentuh Hati Rakyat appeared first on The Malaysian Update.