Juruteknik di Singapura ditahan lakukan provokasi, pecahkan cermin kereta

3 Dec 2025 • 5:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden membaling batu pada cermin belakang kenderaan ditahan reman.

ISKANDAR PUTERI - Polis menahan seorang juruteknik bagi membantu siasatan berhubung insiden keganasan jalan raya di Lebuhraya Pasir Gudang pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan di kawasan Taman Bukit Kempas, Johor Bahru pada jam 7.50 petang.

"Siasatan mendapati suspek bekerja sebagai juruteknik di Singapura itu tiada memiliki rekod lampau. Ujian saringan air kencing juga negatif dadah.

"Pihak polis turut merampas sebuah motosikal dan suspek direman selama empat hari bermula Rabu hingga Sabtu ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, tular di media sosial, seorang wanita berusia 26 tahun mendakwa menjadi mangsa provokasi dan diserang seorang penunggang motosikal di lebuh raya tersebut.

Klip video berdurasi 24 saat yang dimuat naik menerusi laman Facebook itu menunjukkan penunggang terbabit memecut motosikal di belakang kereta sebelum membaling batu ke arah cermin belakang kenderaan berkenaan.

Sementara itu, Kumarasan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat selain Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved