Penunggang Motosikal Baling Batu Sebab Berang Kena Hon

LocalPolitics
2 Dec 2025 • 8:00 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Gara-gara bunyikan hon, seorang penunggang motosikal dipercayai warga Singapura membaling batu ke arahsebuah kereta sehingga  cermin belakang kenderaan terbabit pecah.

Kejadian berlaku di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura, Johor Bahru semalam. Mujur kejadian itu sempat dirakam untuk dijadikan bahan bukti.

Kejadian yang tular di media sosial menunjukkan  penunggang terbabit memecut laju sebaik membaling batu ke arah cermin belakang kereta berkenaan.

Bagaimanapun, kedengaran seorang wanita yang menjerit dan bertindak mengejar penunggang motosikal yang mencilok di tengah-tengah jalan dalam keadaan bahaya.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan mengesahkan kejadian itu selepas menerima laporan polis daripada pemilik kereta berkenaan. 

Kejadian jam 8.20 pagi di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura berhampiran plaza tol Perling menghala ke Taman Bukit Indah, Johor Baru.

Kumarasan berkata, pemandu kereta mendakwa dia membunyikan hon selepas penunggang motosikal itu menukar lorong secara tiba-tiba.

Penunggang itu kemudian mengejar kereta berkenaan sebelum didakwa membaling batu ke arah cermin belakang kereta sehingga pecah.

"Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, tindakan penunggang motosikal berkenaan membahayakan keselamatan awam dan menyebabkan kerosakan harta benda," kata Kumarasan dalam kenyataan.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, yang membawa hukuman penjara satu hingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ia turut disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya, yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.