Jurutera elektrik maut, kereta langgar besi penghadang jalan

1 Jul 2024 • 11:06 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan kereta Perodua Viva remuk selepas terlibat kemalangan. Foto: Polis Trafik Kuantan

KUANTAN - Seorang jurutera elektrik maut selepas kereta dipandunya terbabas melanggar besi penghadang jalan di Jalan Pintasan Gebeng berhampiran Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini pada Ahad.

Dalam nahas kira-kira jam 5.20 petang itu, mangsa, Mohamed Afendi Mohamed Fauzi, 40, beralamat dari Tok Sira di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Viva dipercayai dalam perjalanan dari arah Kemaman menghala ke bandar Kuantan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan.

"Akibat kejadian, tersebut, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!