Juruterbang Heikal Aras taat ibu bapa, tak pernah tinggi suara - Abang

20 Aug 2023 • 5:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tiga anak Allahyarham Juruterbang Beechcraf Heikal Aras Abdul Azim (dari dua, kanan) Rafael Dzulqairy, Suri Balqish dan Daniel Zulqarnain kelihatan sebak sejurus jenazah bapa mereka tiba di Desa Pinggiran sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 Putrajaya pada Ahad.- Foto Bernama.

PUTRAJAYA - Juruterbang, Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim yang maut dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu merupakan seorang anak yang taat kepada ibu bapa dan tidak pernah meninggikan suara.

Abangnya yang juga Leftenan Komander Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Husnein Aras Abdul Azim, 46, berkata, arwah juga seorang bapa yang baik terhadap tiga anak iaitu Daniel Zulqornain berusia 13 tahun, Suri Balqish (10) dan Rafael Dzulqairy (9).

"Arwah juga periang dan walaupun berdepan masalah, dia tetap senyum manis.

"Arwah anak kedua daripada lima beradik dan kami sangat rapat, inilah hasil didikan yang ibu bapa beri kepada kami mengenai agama dan adab.

“Pemergian Allahyarham Heikal dicemburui ramai dan tangisan ahli keluarga sebagai satu kenangan, bukannya kehilangan," katanya selepas pengebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 pada jam 2.20 petang, Ahad.

Jenazah dikafankan dan disolatkan terlebih dahulu di Masjid Jamek Ar-Rahimiah Klang dan dibawa ke kediaman keluarganya di Desa Pinggiran Putra, Dengkil pada jam 1.20 petang.

Pada Khamis lalu, sebuah pesawat ringan membawa enam penumpang dan dua kru terhempas kira-kira jam 2.50 petang di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam.

Selain kesemua yang berada di dalam pesawat, dua orang awam iaitu penunggang motosikal penghantar p-hailing dan pemandu kereta e-hailing yang sedang melalui kawasan nahas turut disahkan maut.

Tambah Husnein, arwah adiknya itu bercita-cita untuk menjadi juruterbang semenjak kecil kerana terinspirasi daripada watak Han Solo menerusi filem Star Wars dan mereka sering bergaduh ketika bermain melakonkan karakter itu.

Ujarnya, selain dua adik yang berhasrat mengikut jejak langkah bergelar juruterbang, anak sulung arwah, Daniel Zulqornain juga menunjukkan minat sama.

ARTIKEL BERKAITAN: