Juruterbang luncur udara maut terhempas di cerun konkrit

30 Dec 2022 • 11:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mangsa maut selepas terhempas pada cerun konkrit di kawasan projek lebuh raya Pan Borneo berhampiran Kampung Keliangau, Manggatal, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Seorang juruterbang sukan luncur udara atau paragliding maut selepas terhempas pada cerun konkrit di kawasan projek lebuh raya Pan Borneo berhampiran Kampung Keliangau, Manggatal, di sini, pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, lelaki berusia 26 tahun berkenan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan membawa seorang lagi penumpang.

"Mangsa dan penumpang meluncur menuruni bukit dari kawasan bukit Kokol san berjaya mendarat dengan selamat.

"Bagaimanapun, sebaik saja penumpang diturunkan, mangsa yang tidak sempat menanggalkan tali payung telah ditiup angin kuat menyebabkannya terbang sebelum terhempas ke cerun konkrit berkenaan," katanya dalam kenyataan pada malam Jumaat.

Katanya lagi, hasil siasatan mendapati kejadian itu tiada unsur perbuatan khianat atau jenayah.

"Mangsa dihantar ke bahagian forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) untuk menjalani bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.