
TRIPOLI – Dua juruterbang ditahan kerana didakwa berada di bawah pengaruh alkohol semasa cuba mendaratkan sebuah jet peribadi sebelum terbabas dari landasan dan terbakar di sebuah lapangan terbang di Libya, lapor akhbar The Sun UK.
Kejadian berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Mistara, baru-baru ini.
Pesawat jenis Cessna Citation Latitude buatan tahun 2026 itu membawa tiga orang termasuk dua juruterbang terbabit dan seorang kru. Ia dilaporkan berlepas dari Istanbul, Turkiye.
Imej dimuat naik di media sosial menunjukkan anggota pasukan kecemasan cuba memadamkan kebakaran pada bangkai pesawat.
Tiada kecederaan dilaporkan, namun pendakwa raya menyatakan bahawa dua juruterbang itu berada di bawah pengaruh alkohol semasa melakukan pendaratan yang gagal.
Mereka juga dituduh mengabaikan peraturan keselamatan penerbangan dan awam.
Syarikat pengendali jet berkenaan yang berpangkalan di Turkiye, BKNJET Aviation Co., menafikan dakwaan tersebut.
“Tiada keputusan atau dokumen rasmi sah yang menunjukkan sebarang penemuan mengenai alkohol diterima oleh kami,” kata syarikat itu. – AGENSI
The post Juruterbang mabuk punca pesawat terbabas appeared first on Kosmo Online.





![[VIDEO] Pasangan Diraja Thailand curi tumpuan terbangkan sendiri Boeing 737](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/thai.png)