
CHIANG MAI: Seorang wanita berusia 66 tahun sanggup melakukan perjalanan seorang diri dari Lampang ke Chiang Mai untuk bertemu ‘kekasih’ yang dipercayainya juruterbang, namun terkejut apabila mendapati lelaki itu sebenarnya watak dijana kecerdasan buatan (AI) di Facebook.
Wanita itu tiba di terminal penumpang Lapangan Terbang Chiang Mai kira-kira pukul 8 malam pada 16 September lalu, sebelum dibantu Polis Pelancongan Chiang Mai dan pegawai keselamatan lapangan terbang.
Kakitangan keselamatan pada awalnya berasa curiga selepas melihat wanita itu menunggu seorang diri untuk bertemu seorang lelaki bernama Chai.
Ketika disoal, wanita berkenaan memberitahu Chai ialah seorang juruterbang dan dia datang dari Lampang khusus untuk bertemu dengannya.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan dan perbualan dengan wanita itu, pihak berkuasa mendapati individu yang dipercayainya akan ditemui itu sebenarnya watak yang dihasilkan menggunakan teknologi AI.
Wanita itu dilaporkan kerap menonton kandungan memaparkan watak berkenaan di Facebook sehingga percaya lelaki tersebut benar-benar wujud.
Dia kemudian mula mempunyai perasaan romantik terhadap watak berkenaan dan mengambil keputusan melakukan perjalanan ke Chiang Mai dengan harapan dapat bertemu dengannya secara bersemuka.
Wanita itu menaiki bas awam dari Lampang ke Chiang Mai sebelum mendapatkan pengangkutan seterusnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Chiang Mai, kerana menyangka lelaki berkenaan akan muncul di situ.
Bagaimanapun, usaha mendapatkan maklumat daripadanya berdepan kesukaran kerana wanita itu kebanyakannya bertutur dalam bahasa etnik minoriti. Dia juga kelihatan keliru ketika bercakap dengan pegawai.
Polis Pelancongan, kakitangan lapangan terbang dan pasukan penyelamat kemudian bekerjasama mengesan serta menghubungi keluarganya.
Mereka akhirnya berjaya menghubungi anak lelaki wanita berkenaan dan memaklumkan apa yang berlaku.
Menurut keluarganya, mereka tidak mengetahui wanita itu meninggalkan Lampang atau melakukan perjalanan ke Chiang Mai. Pegawai kemudian berhubung dengan keluarga wanita itu bagi menghantarnya pulang sehari kemudian.- AGENSI
The post Warga emas sanggup ke Chiang Mai cari ‘kekasih’, rupanya AI appeared first on Utusan Malaysia.


![[VIDEO] Polong ‘bergerak’ dalam kebun getah dekat kubur di Rembau](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/POLONG.jpeg)

