
Seorang juruterbang dari New Zealand telah dijadikan tebusan oleh puak pemisah di wilayah Papua Indonesia yang juga telah mengancam untuk membunuhnya.
Juruterbang itu, yang telah dikenal pasti sebagai Philip Merthens, telah diculik selepas kapal terbang Susi Air miliknya dibakar ketika mendarat di lapangan terbang terpencil di daerah pergunungan Nduga.
Menurut laporan BBC, difahamkan beberapa insiden pemberontakan banyak berlaku kebelakangan ini di lokasi tersebut iaitu Paro Airport.

Lima penumpang yang berada di dalam pesawat dipercayai telah dibebaskan kerana mereka adalah etnik Papua dan penerbangan itu dilaporkan membawa bekalan dari bandar perlombongan Timika.
Tentera Pembebasan Kebangsaan Papua Barat telah mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dan berkata juruterbang itu akan dihukum bunuh jika Indonesia gagal berunding mengenai kemerdekaan Papua Barat.
Sebby Sambom yang merupakan jurucakap kumpulan itu, berkata juruterbang itu ditahan kerana terdapat kerjasama ketenteraan di antara New Zealand dengan Indonesia.
“New Zealand, Australia dan Amerika mesti bertanggungjawab atas apa yang telah mereka lakukan, membantu tentera Indonesia membunuh dan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk asli Papua dalam tempoh 60 tahun yang lalu,” katanya.
Sebagai info, Papua yang merupakan bekas tanah jajahan Belanda, mengisytiharkan kemerdekaan pada tahun 1961 namun telah dimasukkan ke dalam Indonesia pada tahun 1969, berikutan undian yang dipertikaikan.
Kerajaan New Zealand berkata mereka sedar akan situasi tersebut dan pegawai di kedutaannya di Indonesia sedang mengusahakan kes itu.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

