Juruterbang Seludup Dadah: Polis Peroleh Petunjuk Baharu

14 Aug 2026 • 9:22 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Juruterbang Seludup Dadah: Polis Peroleh Petunjuk Baharu

KUALA LUMPUR - Siasatan polis terhadap sindiket pengedaran dadah yang dikaitkan dengan penahanan seorang juruterbang rakyat Malaysia di Jakarta kini menemukan beberapa petunjuk baharu, termasuk bagaimana suspek berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis kini sedang mengenal pasti individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan, susulan sesi soal siasat terhadap suspek di Indonesia.

Menurutnya, maklumat yang diperoleh sepanjang proses berkenaan turut memberikan gambaran lebih jelas mengenai kegiatan rangkaian itu di Malaysia dan luar negara, termasuk kemungkinan wujudnya hubungan kewangan antara pihak terlibat.

“Maklumat yang diperoleh membantu siasatan dalam beberapa aspek, termasuk usaha mengesan anggota sindiket yang terlibat di Malaysia.

“Kami juga mengetahui bagaimana suspek dipercayai berjaya melepasi pemeriksaan di KLIA, selain mendapat gambaran mengenai aliran kewangan sindiket, baik di dalam mahupun luar negara,” katanya.

Hussein berkata pasukan penyiasat Malaysia turut menerima kerjasama baik daripada Polis Republik Indonesia (Polri) sepanjang proses berkenaan.

Sesi soal siasat terhadap suspek bermula pada 12 Ogos dan pada asalnya dijadualkan berlangsung selama dua hari. 

Bagaimanapun, tempoh itu dilanjutkan sehingga 14 Ogos selepas pihak berkuasa Indonesia memberikan kebenaran kepada pasukan Malaysia untuk meneruskan sesi bersama suspek.

Beliau berkata, suspek turut memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses soal siasat berkenaan.

Sebelum ini, Bukit Aman mengesahkan penghantaran sepasukan pegawai JSJN ke Jakarta bagi membantu siasatan kes pengedaran dadah yang dipercayai membabitkan juruterbang rakyat Malaysia itu.

Lelaki berusia 39 tahun berkenaan ditahan di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 28 Julai selepas tiba dari Kuala Lumpur menggunakan penerbangan Malaysia Airlines MH727.

Pihak berkuasa Indonesia mendakwa suspek cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah ke negara berkenaan. - Getaran, 14 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved