
PONTIAN – Tindakan seorang lelaki menjadi ‘runner’ sindiket pengedaran dadah terbongkar selepas dia ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM921,022 dalam tiga serbuan di Pontian dan Pekan Nanas, di sini pada 11 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein berkata, suspek lelaki tempatan berusia 36 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) dalam serbuan pertama kira-kira pukul 9.30 malam.
Menurutnya, serbuan pertama di sebuah kawasan perumahan di Taman Megah menemukan 14 paket plastik berisi serbuk disyaki ekstasi, satu paket syabu, 30 biji pil disyaki Eramin 5 dan tiga biji pil ekstasi.
“Serbuan kedua dilakukan di sebuah hotel di Taman Megah sebelum polis merampas enam paket plastik disyaki ekstasi, satu paket syabu dan satu paket ketamin.
“Serbuan ketiga pula di sebuah homestay di Pekan Nanas menemukan 50 paket plastik berisi serbuk disyaki ekstasi, satu paket ketamin, 20 biji pil Eramin 5 serta tiga balang plastik berisi serbuk disyaki MDMA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, keseluruhan rampasan dadah adalah seberat 8.21 kilogram selain sebuah Proton Wira dan wang tunai RM5,500 disita.
Katanya, modus operandi sindiket adalah menjadikan hotel dan homestay yang disewa sebagai lokasi penyimpanan sebelum bekalan dadah diedarkan kepada pasaran tempatan. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Runner’ ditahan, dadah hampir RM1 juta dirampas appeared first on Kosmo Digital.






