
TUMPAT – Penemuan dadah bernilai RM4.83 juta di Pangkalan Udara Subang di Selangor terjawab apabila Bukit Aman mengesahkan seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bertindak sebagai koordinator dan transporter sindiket tersebut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek dipercayai menggunakan aset tentera untuk menerbangkan methamphetamine seberat 96.6 kilogram (kg) itu dari Lembah Klang ke Labuan dan Tawau, Sabah.
“Setakat ini, seramai 13 individu ditahan membabitkan tujuh pegawai serta anggota TUDM dan enam orang awam termasuk dua lagi koordinator sindiket dalam operasi khas di Lembah Klang, Labuan dan Sabah.
“Bagi juruterbang berkenaan, peranan beliau adalah sebagai koordinator dan transporter. Mengenai jumlah upah yang diterima serta berapa kali penerbangan (trip) yang dibuat menggunakan aset tentera, semuanya masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika melawat keluarga Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Aliff Yaacob di Tumpat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Hussein menegaskan, pihak JSJN turut mengenal pasti beberapa lagi ahli sindiket yang terlibat sebelum tangkapan dilakukan dan siasatan menyeluruh sedang giat dijalankan.
“Berikan ruang kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan dan Ketua Polis Negara akan berkongsi hasil penuh kes ini dalam masa terdekat,” ujarnya.
The post Juruterbang TUDM didakwa jadi koordinator dadah appeared first on Kosmo Online.






