Juruwang warga Bangladesh ditahan salah guna MyKad orang lain, seleweng subsidi RON95

LocalPolitics
11 May 2026 • 3:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Juruwang warga Bangladesh ditahan salah guna MyKad orang lain, seleweng subsidi RON95
Suspek warga Bangladesh (dua kanan) dibawa untuk proses reman di Mahkamah Sik pada Isnin.

SIK - Polis menahan seorang pekerja stesen minyak warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes kehilangan kuota petrol subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) yang disyaki digunakan pihak lain di Kupang, Baling pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Brandon Richard Joe berkata, penahanan itu adalah susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh seorang peniaga berusia 57 tahun dari Selangor yang mendakwa kuota subsidi BUDI95 miliknya telah hilang.

"Pengadu mendakwa menyedari perkara itu semasa berada di sebuah stesen minyak di Setia Alam, Shah Alam kira-kira jam 4.48 petang 8 April lepas, sebelum sebelum membuat semakan melalui aplikasi BUDI95.

"Hasil semakan mendapati terdapat transaksi pengisian minyak subsidi RON95 menggunakan nombor kad pengenalan pengadu di sebuah stesen minyak di Padang Lengkuas, Kupang, Baling," katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.

Siasatan lanjut mendapati berlaku enam transaksi pengisian minyak RON95 menggunakan nombor kad pengenalan pengadu membabitkan 309.038 liter minyak bernilai RM1,242.33, bermula 18 Mac hingga 8 April lepas.

Berikutan itu, Brandon berkata, warga Bangladesh berusia 34 tahun yang juga juruwang stesen minyak itu direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau berkata, polis turut mengesan seorang individu warga tempatan yang dipercayai turut terlibat dalam kes itu. - Bernama